Program #SayaDigital MDEC bantu rakyat perkasa digitalisasi | DagangNews Skip to main content

Program #SayaDigital MDEC bantu rakyat perkasa digitalisasi

Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff (empat dari kiri) pada program #SayaDigital di perkampungan Orang Asli di Bukit Lanjan, Selangor. 

 

 

 

KUALA LUMPUR 22 Mac - Perbadanan Digital Ekonomi Malaysia (MDEC) melengkapkan acara akhir program perintis #SayaDigital di perkampungan Orang Asli di Bukit Lanjan, Selangor. 

 

Program itu bermatlamat sebagai kajian awal menjelang pelancaran pada peringkat kebangsaan #SayaDigital, 3 program secara fizikal dan 9 secara dalam talian telah dilaksanakan yang manfaatkan 301 peserta membabitkan rakyat kumpulan rentan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, kejayaan kempen ini membolehkan rakyat berkemampuan digital dan memanfaatkan sepenuhnya infrastruktur dan faedah dalam ekonomi digital. 

 

"Oleh itu, inisiatif memperkasa mereka dengan pengetahuan dan kemahiran digital untuk semua lapisan masyarakat membolehkan Malaysia terus berkembang. 

 

"Pada masa sama, dapat mendorong mencapai matlamat Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB 2030) untuk semua golongan rakyat selaras dengan penekanan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital),” katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Projek perintis #SayaDigital yang merupakan sebahagian Gerakan #SayaDigital dianjurkan untuk memberi kesedaran dan kekuatan kepada rakyat kategori rentan sosio ekonomi untuk menerapkan digitalisasi sejajar dengan WKB 2030 dan MyDigital.

 

Gerakan #SayaDigital dilancarkan pada Ogos 2020 dan para peserta dilatih menerusi program Latihan Literasi Digital Asas.

 

Program ini menyasarkan keluarga kategori B40, golongan tidak berpendapatan, warga emas dan belia. 

 

Ia bertujuan memberi kesedaran kepada komuniti ini bahawa penggunaan digital mampu menjadikan kehidupan lebih mudah, membolehkan mereka mengembangkan perniagaan, membantu menjana pendapatan dan seterusnya memperkasakan kerjaya masa depan.

 

Sementara itu, Pengerusi MDEC, Datuk Wira Dr. Rais Hussin Mohamed Ariff berkata, MDEC sentiasa bersemangat melaksanakan amanahnya dan tidak hanya membawa inovasi di tempat kerja dan perniagaan sebaliknya turut melengkapi rakyat dengan pengetahuan dan kemahiran digital terutamanya kelompok sosio ekonomi yang rentan. 

 

"Pengembangan literasi digital yang dilaksanakan MDEC tidak akan meminggirkan sesiapa sebaliknya akan membantu dalam mencapai Malaysia 5.0 dan seterusnya menjadikan negara ini sebagai Nadi Digital ASEAN,” katanya.

 

Pada program ini, ahli masyarakat setempat yang mengambil bahagian akan menjawab Penilaian Kesediaan Digital untuk mengukur tahap literasi digital di Kiosk #SayaDigital. 

 

Keputusan ujian berkenaan akan menentukan peringkat Modul Pembelajaran Literasi Digital Asas yang perlu dipelajari mereka.

 

Belia tempatan yang dilantik semasa projek perintis pula dikenali sebagai GENG #SayaDigital dan menjadi sukarelawan program ini. 

 

Latihan merangkumi Program Literasi Asas Digital yang membabitkan e-Komunikasi, perbankan dalam talian, eWallet dan aplikasi perkhidmatan digital.  

 

Setakat ini, seramai 25 anak muda telah dilatih menerusi inisiatif ini.

 

Salah seorang penduduk di Perkampungan Orang Asal Desa Temuan, Dawit, 42 berkata, bengkel interaktif merupakan program yang menyeronokkan kerana mereka dibantu oleh para pelatih berwawasan dan bersemangat. 

 

"Saya telah belajar banyak perkara dan yakin akan dapat memanfaatkan pengetahuan ini dalam norma dan cabaran baharu yang sedang kita jalani," kongsinya. - DagangNews.com