Program Seni Untuk Semua terbitan CENDANA di TV1 mulai 10 April ini | DagangNews Skip to main content

Program Seni Untuk Semua terbitan CENDANA di TV1 mulai 10 April ini

Sarina Aziz bersama Naz dalam program Seni Untuk Semua.

KUALA LUMPUR 8 April – CENDANA atau Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya, dibawah MyCreative Ventures Sdn. Bhd. akan menyiarkan Program Seni Untuk Semua di RTM Saluran TV1 pada setiap hari Ahad pukul 9:30 malam bermula 10 April 2022 dan secara dalam talian melalui laman portal www.baskl.com.my.

 

Program Seni Untuk Semua memaparkan 16 buah episod yang berdurasi 30 minit dan diacarakan oleh Nazrudin Habibur Rahman, atau lebih dikenali sebagai Abang Naz.

 

Program ini bakal membawa penonton melalui pelbagai peringkat penghasilan karya langkah demi langkah dengan cara yang sangat menyeronokkan untuk menghasilkan karya seni.

 

Program yang bakal menampilkan penggiat seni dari sektor-sektor seni yang berbeza ini diharapkan dapat menyemarakkan minat serta meningkatkan kemahiran dalam bidang seni dalam kalangan masyarakat.

 

Bagi dalam talian pula, rancangan ini akan menyajikan 50 buah video tutorial seni hasil kurasi 50 orang artis tanah air yang berlainan daripada Seni Untuk Semua di televisyen.

 

Setiap video tutorial berdurasi 15 minit ini menampilkan langkah demi langkah pembuatan hasil seni oleh artis tersebut. Video tutorial ini merangkumi pelbagai cabang seni seperti seni persembahan, seni visual, muzik dan kraf.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MyCreative Ventures, Junady Nawawi berkata, pihaknya berharap melalui rancangan ini, ibu, bapa dan anak-anak dapat bersama-sama melakukan aktiviti ini yang secara tidak langsung membantu perkembangan minda anak-anak mereka.

 

‘’Selain itu artis-artis yang kami tampilkan juga ialah mereka yang berkemahiran dan berpengalaman dalam bidang seni,” ujar beliau.

 

Program Seni Untuk Semua ini ialah cambahan idea daripada program Artis Di Sekolah anjuran dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan  diperkenalkan pada tahun 2020 di mana artis-artis berpengalaman diberikan peluang untuk ke sekolah-sekolah di sekitar Lembah Klang dan mengajar kelas seni kepada pelajar-pelajar di sekolah tersebut.


 

cendana

 

cendana

 


Oleh sebab pandemik yang melanda, dan bagi memastikan kelangsungan program ini, program Artis Di Sekolah telah diolah dan disesuaikan sebagai sebuah rancangan televisyen dan rancangan dalam talian.

 

Antara artis dan aktiviti seni yang bakal ditampilkan dalam program Seni untuk Semua di saluran TV1 ialah Fusion Wayang Kulit yang dikendalikan oleh Pak Dain dan Tintoy Chuo.

 

Seni Untuk Semua disokong melalui Pakej Rangsangan Industri Kreatif Malaysia (PRISMA) iaitu sebuah inisiatif yang pelbagai untuk memulihkan industri kreatif termasuk juga seni & budaya.

 

Sementara itu, Seni Untuk Semua Dalam Talian disokong oleh Pakej Perlindungan Rakyat Dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia, yang ditadbir dan diurus oleh MyCreative Ventures dan CENDANA. – DagangNews.com