Program usahawan cilik Bazar Junior Perak berjaya raih jualan RM25,000 | DagangNews Skip to main content

Program usahawan cilik Bazar Junior Perak berjaya raih jualan RM25,000

Bazar Junior Perak memberi pendedahan tentang bidang keusahawanan kepada peserta kanak-kanak.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 20 Jun - Program usahawan cilik, Bazar Junior Perak yang diadakan di Meow Garden, Tambun mencipta kejayaan tersendiri apabila berjaya meraih jualan sebanyak RM25,0000.

 

Ia melibatkan penyertaan kira-kira 257 kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun yang membuka gerai jualan masing-masing.

 

Bazar Junior Perak bertujuan memberi pendedahan dan mendidik anak-anak kecil ini dalam bidang keusahawanan.

 

Antaranya menjual makanan dan minuman, pakaian, mainan, barangan preloved, buku dan alat tulis, aksesori, seni dan kraftangan.

 

Usahawan cilik Bazar Junior Perak mendapat pengalaman baharu semasa mengendalikan gerai.
Usahawan cilik mendapat pengalaman baharu semasa mengendalikan gerai masing-masing.

 

Edisi kedua Bazar Junior Perak berjaya mencatat jualan sebanyak RM25,000.
Edisi kedua Bazar Junior Perak berjaya mencatat jualan sebanyak RM25,000.

 

Program jualan sehari itu dianjurkan oleh Junior Chamber International (JCI) Kinta dengan kerjasama kerajaan negeri Perak.

 

Bazaar Junior Perak yang juga dikenali sebagai School of Hope: Children Flea Market ini mula diadakan tahun lalu.

 

Pengerusi penganjur projek, Stephanie Hew berkata, 10 peratus daripada hasil jualan tersebut akan disumbangkan kepada rumah kebajikan terpilih.

 

Menurut beliau, sambutan pada jualan bazar itu sangat baik apabila 60 gerai dibuka selain menerima kedatangan ribuan pengunjung khususnya dalam kalangan ibu bapa.

 

"Kanak-kanak yang mengambil bahagian dalam bazar ini memberitahu mereka mempelajari ilmu berharga seperti asas perniagaan dan pengurusan kewangan.

 

"Mereka juga berpeluang membuka gerai selain , berinteraksi dengan pelanggan, mengendalikan urus niaga dan mengawal pendapatan dan perbelanjaan mereka," ujarnya dalam satu kenyataan.

 

Salbiah (tengah) semasa merasmikan program Bazar Junior Perak di Meow Garden, Tambun di Ipoh.
Salbiah (barisan belakang berdiri lapan dari kanan) semasa merasmikan program Bazar Junior Perak di Meow Garden, TambunIpoh.

 

Majlis perasmian Bazar Junior Perak ini disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Salbiah Mohamad.

 

Stephanie berkata, penganjuran Bazar Junior Perak kali ini dibuat lebih besar berikutan sambutan baik daripada ibu bapa dan peserta pada tahun lepas.

 

Katanya lagi, satu siri program pembelajaran yang lebih komprehensif diperkenalkan kepada para peserta termasuk latihan perniagaan.

 

Peserta juga dibawa menyertai lawatan ke beberapa syarikat sebagai persediaan untuk menjalankan perniagaan mereka pada bazar tersebut. - DagangNews.com