Projek ECRL capai kemajuan 28.57 peratus - MRL | DagangNews Skip to main content

Projek ECRL capai kemajuan 28.57 peratus - MRL

Mesin pengorek terowong yang baru dipasang dan sedia beroperasi. Gambar China Communications Construction ECRL Sdn Bhd

KOTA BHARU 13 April - Kerja-kerja pembinaan cerucuk, tanah, jambatan dan terowong bagi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) telah mencapai kemajuan keseluruhan sebanyak 28.57 peratus, setakat ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata peratusan itu merangkumi kerja-kerja pembinaan di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor.

 

Katanya, secara keseluruhan projek ECRL sepanjang 665 kilometer (km) berjalan baik serta berada di landasan yang tepat untuk siap sepenuhnya pada Disember 2026.

 

"Secara keseluruhan kita tidak hadapi banyak masalah, alhamdulillah banyak isu telah diselesaikan dengan kerjasama yang baik daripada semua pihak khususnya kerajaan negeri yang terlibat.

 

"Bagi Kelantan jajaran ECRL ialah 43.86 km, kemajuan kerja-kerja insfrastruktur sudah mencapai 21.58 peratus dan alhamdulillah proses pengambilan tanah untuk jajaran utama telah selesai sepenuhnya," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pengamal Media, di sini malam tadi, Bernama melaporkan.

 

Mengulas lanjut, Darwis berkata kerja-kerja pembinaan Terowong Genting sepanjang 16.39 km dari Pahang ke Selangor akan bermula bulan depan.

 

"Proses pengorekan Terowong Genting membabitkan 10 km di Pahang dan enam kilometer di Selangor dijangka mengambil masa dua setengah tahun dengan kadar produktiviti lebih kurang antara 400 hingga 600 meter sebulan,” katanya.


 

Datuk Seri Darwis Abdul Razak
Datuk Seri Darwis Abdul Razak

 


Darwis berkata projek ECRL yang bakal mewujudkan sistem pengangkutan lebih baik, canggih dan moden di negeri Pantai Timur dijangka mula beroperasi pada Jan 2027.

 

"Sasaran penumpang ialah 5.6 juta setahun, setiap perjalanan membabitkan enam gerabak mampu memuatkan 440 penumpang.

 

"Bagaimanapun harga tiket belum diputuskan, ia bergantung kepada kerajaan," katanya. - DagangNews.com