Projek hartanah MVV 2.0 di Labu bakal pacu pertumbuhan masa depan Matrix Concepts | DagangNews Skip to main content

Projek hartanah MVV 2.0 di Labu bakal pacu pertumbuhan masa depan Matrix Concepts

Permintaan kukuh projek perumahan teres mampu milik yang dibangunkan Matrix Concepts di Seremban. -Gambar hiasan
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 7 Ogos - MIDF Research percaya pembangunan tanah Lembah Wawasan Malaysia (MVV) 2.0 di Labu, Negeri Sembilan akan menjadi pemacu pertumbuhan masa depan untuk Matrix Concepts Holdings Berhad.

 

Firma penyelidikan itu berkata, ini selepas pembangunan Bandar Sri Sendayan memandangkan Matrix Concepts menyasarkan untuk melancarkan projek pertama di MVV 2.0 hanya pada separuh kedua tahun kewangan 2026 (2HFY26).

 

"Pengembangan bank tanah di MVV 2.0, Labu dijangka merangsang pertumbuhan Matrix Concepts selepas FY27. Perlu diingat bahawa Matrix Concepts telah memperoleh 1,382 ekar tanah di MVV 2.0 dengan nilai RM460 juta pada tahun 2022, dan pemerolehan ini akan diselesaikan menjelang 4QCY24. 

 

"Selain itu, Matrix Concepts mengumumkan pemerolehan 1,000 ekar tanah bersebelahan dengan pemerolehan tanah pertama di MVV 2.0 dengan nilai RM435.6 juta pada Jun 2024. Ini menjadikan jumlah bank tanah Matrix Concepts di MVV 2.0 kepada 2,382 ekar. 

 

"Jumlah nilai pembangunan kasar (GDV) yang dianggarkan untuk tanah tersebut adalah RM12 bilion dengan tempoh pembangunan selama 12 tahun," katanya dalam nota penyelidikan.

 

mvv

 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Pemerolehan tanah terbaharu dijangka kukuhkan kedudukan Matrix Concepts di Negeri Sembilan - MIDF Research

 

Menurut MIDF Research, Matrix Concepts telah memperuntukkan 40% daripada tanah tersebut atau 1,000 ekar untuk pembangunan industri berikutan permintaan yang kuat terhadap hartanah industri di Malaysia.

 

"Kekalkan saranan 'Beli' dengan harga sasaran (TP) yang disemak kepada RM2.22 sesaham. 

 

"Kami tidak membuat sebarang perubahan pada ramalan pendapatan FY25F kami tetapi mengubah ramalan pendapatan FY26F/27F sebanyak +3.2%/+9.9% selepas mengambil kira sumbangan daripada MVV 2.0 memandangkan pelancaran pertama di MVV 2.0 akan berlaku pada 2HFY26. 

 

"Kami terus menyukai Matrix Concepts kerana pendedahannya kepada rumah teres mampu milik di Seremban yang disokong oleh permintaan yang kukuh untuk rumah jenis berkenaan," jelasnya sambal menjangkakan hasil dividen yang dianggarkan bagi Matrix Concepts adalah menarik pada kadar 6.0%. 

 

Dalam pada itu, MIDF Resarch berkata, kawasan Bandar Sri Sendayan terus menjadi penyumbang utama kepada jualan Matrix Concepts, menyumbang sebanyak 83% kepada jumlah jualan hartanah baru dalam FY24. 

 

"Prestasi cemerlang Bandar Sri Sendayan didorong oleh permintaan yang kuat untuk rumah mampu milik di atas tanah," ujarnya. - DagangNews.com