Projek Loji Rawatan Kompak Chinchin beri manfaat lebih 100,000 penduduk Jasin, Merlimau - PM | DagangNews Skip to main content

Projek Loji Rawatan Kompak Chinchin beri manfaat lebih 100,000 penduduk Jasin, Merlimau - PM

MELAKA 14 Okt - Projek Loji Rawatan Kompak Chinchin beri manfaat kepada lebih 100,000 Keluarga Malaysia Melaka khususnya di Jasin dan Merlimau, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Menurutnya, pembinaan loji ini menelan belanja sebanyak RM40 juta dan ia adalah satu inisiatif Syarikat Air Melaka Berhad (SAMB) untuk membantu Kerajaan Negeri dan Keluarga Malaysia di Melaka yang sebelum ini berdepan dengan kemarau sehingga terpaksa mencatu bekalan air pada Januari sehingga Mac tahun 2020.

 

"Loji ini beroperasi menggunakan bekalan air mentah dari Tasik Biru yang merupakan bekas lombong yang tidak lagi digunakan," kata beliau semasa merasmikan loji tersebut di Jasin, Melaka hari ini.


 

PM

 


Perdana Menteri berkata,  Kerajaan Pusat telah meluluskan peruntukan sebanyak RM350 juta melalui Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi pembinaan Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) Melaka bertempat di Tasik Biru ini bagi menambah sumber bekalan air mentah di seluruh negeri ini.

 

"Sebagai penyelesaian jangka panjang, Kerajaan Pusat turut meluluskan peruntukan sebanyak RM150 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12), bagi kerja-kerja penyaluran air mentah dari TAPS Melaka ke Empangan Jus di daerah Jasin yang dijangka siap pada tahun 2028," ujarnya.

 

Pada masa yang sama, Kerajaan Pusat sedang melaksanakan projek pembinaan TAPS Jernih di daerah Alor Gajah dengan peruntukan sebanyak RM234.7 juta dan dijangka siap pada tahun 2026.

 

Perdana Menteri berkata, projek pembinaan TAPS di Melaka ini bagi menyelesaikan isu sumber air mentah yang terhad dengan meneroka sumber air mentah baharu yang terdapat di negeri ini. Langkah ini bertujuan mengurangkan kebergantungan Melaka terhadap bekalan air mentah dari negeri-negeri lain seperti Johor dan Negeri Sembilan.

 

 

PM

 

 

Selain pembinaan TAPS, peruntukan sebanyak RM600 juta telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Malaysia bagi projek pembinaan Kolam Dwi-Fungsi di Krubong, Melaka. 

 

"Ini merupakan projek menaik taraf Kolam Tebatan Banjir sedia ada kepada kolam dwi-fungsi bagi menyelesaikan masalah banjir yang sering berlaku di kawasan hilir Sungai Melaka selain berfungsi sebagai kolam simpanan bekalan air mentah sebelum disalurkan ke Empangan Durian Tunggal," katanya.

 

Kerajaan Pusat ujar Ismail Sabri, sentiasa menyokong usaha Kerajaan Negeri Melaka dalam menjalankan projek dan kajian bagi meningkatkan sumber air mentah negeri.

 

Ini termasuklah kajian kebolehlaksanaan projek Penyaluran Air Sungai Muar Fasa 3 bagi menampung keperluan Keluarga Malaysia Melaka yang kian meningkat.

 

"Pelaksanaan projek ini amat penting sejajar dengan perkembangan Melaka sebagai destinasi pelancongan utama negara yang menjamin penjanaan pendapatan dan perkembangan ekonomi secara berterusan.

 

"Saya difahamkan Kerajaan Melaka melalui SAMB telah meluluskan satu kajian berkaitan penggunaan tenaga boleh diperbaharui (Renewable Energy). Ia akan mengkaji kebolehlaksanaan pemasangan panel solar terapung atas permukaan air (Floating Solar) dengan kapasiti 150 Megawatt di Empangan Durian Tunggal bagi menjana bekalan elektrik kepada operasi SAMB,'' katanya.

 

 

PM

 

 

Kerajaan Pusat turut menyokong usaha SAMB untuk meneruskan pelaksanaan panel solar terapung di Loji Rawatan Air Jus Fasa 2 di Empangan Jus, Daerah Jasin jika usaha di Empangan Durian Tunggal tersebut berjaya dilaksanakan.

 

Pelaksanaan projek penggunaan tenaga solar juga selari dengan hala tuju kerajaan persekutuan ke arah mencapai Negara Sifar Karbon (Nett Zero Carbon) menjelang tahun 2050.

 

Selain itu, inisiatif bagi projek Renewable Energy yang dirangka oleh SAMB juga dilihat dapat memacu perkembangan teknologi yang baik bagi negeri Melaka ini.

 

"Selain memastikan kecukupan bekalan air terawat untuk Keluarga Malaysia Melaka, projek ini mampu meningkatkan nama Melaka sebagai negeri yang maju selain mengharumkan nama Malaysia di persada dunia," kata Perdana Menteri. - DagangNews.com