IPOH 22 Ogos - Kesesuaian untuk membangunkan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) di bandar raya Ipoh masih pada peringkat cadangan sebagai pelan jangka panjang dan tiada keputusan muktamad mengenainya.
Ia sejajar dengan persediaan pembangunan pada masa hadapan kerana Ipoh perlu merangka cadangan bagi memajukan infrastruktur pengangkutan awan.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, rancangan tersebut yang akan mengambil masa 25 tahun tidak terhad pada LRT tetapi melihat pada mod lain yang bersesuaian.
Menurut beliau, justeru tidak timbul soal kos sebanyak RM14.5 bilion seperti yang digembar-gemburkan oleh pihak tertentu sebelum ini kerana ini hanya cadangan.
"Saya fikir orang tidak faham konsep, tetapi ia dimasukkan dalam Rancangan Tempatan Daerah, bermakna kita dalam perancangan untuk mengadakan konsep Transit Keretapi Metro (MRT) dan LRT dalam bandar raya Ipoh.
"Apa yang kita buat adalah satu bentuk perancangan dan boleh berubah dalam tempoh sehingga 2035, jadi apa kos dan model pun kita tidak tahu.
"Mungkin boleh berubah kepada teknologi baharu Autonomous Rail Rapid Transit (ART) atau Bus Rapid Transit (BRT)," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Perak berhasrat membangunkan sistem pengangkutan LRT di bandar raya ini sebagai usaha mengatasi masalah kesesakan dan menambah baik kemudahan awam pada masa hadapan.
Menurut Draf Rancangan Tempatan Bandar Raya Ipoh 2035 yang dikeluarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI), cadangan melibatkan dua laluan dengan masing-masing 16 stesen.
Sebanyak 28 stesen LRT dicadang bakal dibangunkan di Bandar Raya Ipoh dengan jumlah jarak keseluruhan 58 kilometer (km).
Sebagai perbandingan, Pulau Pinang misalnya telah merancang untuk mempunyai perkhidmatan LRT sejak 2010.
Begitu juga bandar raya lain seperti Iskandar Puteri di Johor, Seremban (Negeri Sembilan) dan Melaka.
Mengulas lanjut kata Rumaizi, perancangan melalui Rancangan Tempatan Daerah itu penting dalam menentukan kawasan sasaran serta perancangan awal.
"Contohnya, kalau kita hendak merancang membina sebuah lapangan terbang baharu kita mesti rancang dalam satu dokumen dan dokumen dalam perancangan perundangan MBI adalah Rancangan Tempatan Daerah.
"Selepas sudah ada perancangan itu, kita boleh memperuntukkan kawasan tanah dan mungkin boleh dikurangkan kos dalam beberapa aspek.
"Sekiranya ada yang mahu melabur dalam tempoh 10 tahun lagi, kita tidak membuat perancangan awal dan tiba-tiba masa itu baru nak buat, akan ada kos pengambilan semula tanah," katanya. - DagangNews.com