KUALA LUMPUR 17 Nov - RHB Research menjangkakan projek solar berskala besar (LSS) akan memberi sumbangan yang lebih besar kepada hasil Samaiden Group Bhd. bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023 (FY23).
Ini berdasarkan kepada keuntungan bersih teras kumpulan bagi suku pertama sebanyak RM2.44 juta, hanya merangkumi 13% daripada unjuran firma, tetapi masih dianggap berada dalam jangkaan.
Ia berpunca daripada perjanjian pembelian tenaga (PPA) yang hanya dilanjutkan pada Ogos, yang bermakna pemilik projek LSS4 pada masa ini masih memperoleh atau baru sahaja memperoleh – penutupan kewangan.
"Bagi kontraktor kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC), ini bermakna kebanyakan sumbangan LSS4 hanya akan berlaku pada 2023.
"Kami menjangkakan pelanggan komersial dan perindustrian (C&I) Samaiden akan menggunakan pendekatan 'tunggu dan lihat' sepanjang suku tersebut, kerana mereka terus menangguhkan sistem pemasangan solar fotovoltaik di tengah-tengah harga panel solar yang tinggi," katanya dalam nota kajian hari ini.
Baca : Untung bersih Samaiden bagi 1QFY23 meningkat 18.02% kepada RM2.44 juta
Samaiden merekodkan pendapatan sebanyak RM40.77 juta pada pertama berakhir 30 September 2022, meningkat 71.82% berbanding RM23.73 juta yang dicatatkan pada tempoh sama tahun sebelumnya dengan keuntungan selepas cukai mencatat pertumbuhan 18.02% kepada RM2.44 juta daripada RM2.07 juta.
Perkhidmatan EPCC menyumbang kepada kira-kira 99.63% daripada hasil kumpulan bagi tempoh itu. Perniagaannya yang lain ialah perundingan alam sekitar dan operasi dan penyelenggaraan.
RHB Research berkata, nilai kontrak Samaiden setakat akhir September 2022 berjumlah RM325 juta, lebih rendah daripada paras akhir Jun sebanyak RM358 juta, memandangkan kebanyakan pesanan telah diiktiraf.
Menurutnya, dengan pelancaran Program Tenaga Hijau Korporat Suruhanjaya Tenaga pada 7 November lalu, Samaiden dilihat membantu pelanggan C&I untuk mengemukakan bidaan mereka untuk perjanjian pembelian tenaga (PPA) maya, bertindak sebagai kontraktor EPCC dan membida untuk pemilikan projek.
"Ini sepatutnya boleh menambah nilai kontraknya pada masa hadapan. Walaupun harga solar masih dinaikkan, peserta industri telah mencadangkan bahawa harga boleh menurun seiring dengan pergerakan ringgit berbanding dolar Amerikat Syarikat (AS)," jelasnya.
Secara keseluruhan, firma itu mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap Samaiden dengan harga sasaran tidak berubah pada 76 sen sesaham.
Setakat 10.20 pagi, harga sahamnya menokok 0.5 sen atau 0.69% kepada 73 sen dengan 178,500 saham diniagakan. - DagangNews.com