Projek SkyAwani 5 Residence terima penarafan keselamatan dan kualiti tertinggi daripada CIDB | DagangNews Skip to main content

Projek SkyAwani 5 Residence terima penarafan keselamatan dan kualiti tertinggi daripada CIDB

Ir M Ramuseren menyampaikan sijil SHASSIC dan QLASSIC kepada Lee Chee Seng.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 29 Jan - Projek SkyAwani 5 Residence yang dibangunkan SkyWorld Development Berhad (SkyWorld) berjaya mencapai penarafan 5 bintang dalam Penilaian Keselamatan dan Kesihatan dalam Pembinaan (SHASSIC) oleh Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB).

 

Selain itu, projek yang terletak di Sentul, di sini itu turut mencapai skor 84% Sistem Penilaian Kualiti dalam pembinaan (QLASSIC) yang turut dinilai oleh agensi tersebut.

 

SkyWorld berkata, kejayaan berprestij ini mengesahkan komitmen tinggi syarikat terhadap hasil kerja berkualiti, keselamatan dan kesihatan dalam setiap projek yang dibangunkan.

 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Lee Chee Seng, SkyWorld berjaya membina kediaman yang melepasi piawaian industri hasil daripada proses pemeriksaan kualiti yang ketat.

 

"Penarafan ini adalah bukti komitmen SkyWorld untuk menyediakan rumah kediaman berkualiti tinggi kepada rakyat Malaysia.

 

"Ini menepati matlamat syarikat untuk menjadikan kehidupan yang lebih baik," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

sky3

 

Bagi meraikan pencapaian ini, SkyWorld baru-baru ini menganjurkan lawatan projek eksklusif yang mempamerkan kualiti rumah yang luar biasa di SkyAwani 5 Residence. 

 

Acara tersebut menarik lebih 100 tetamu, termasuk wakil media, bank, dan ejen penilai hartanah yang memberikan mereka pengalaman langsung mengenai mutu kerja yang cemerlang bertepatan dengan komitmen SkyWorld.

 

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM), Ir. M. Ramuseren.

 

SkyAwani 5 Residence yang telah siap dibina terdiri daripada 615 buah kediaman berkeluasan 800 kaki persegi dan dijual pada harga RM300,000 sebuah.- DagangNews.com