Projek tenaga boleh diperbaharui Malakoff tarik perhatian pelabur | DagangNews Skip to main content

Projek tenaga boleh diperbaharui Malakoff tarik perhatian pelabur

Malakoff Corporation Berhad

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 6 Okt. - Perancangan dan fokus dalam projek tenaga boleh diperbaharui (RE) oleh syarikat pengeluar air dan tenaga, Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) berjaya menarik perhatian pelabur.

CGS-CIMB Research berkata, potensi daripada pelabur itu dilihat berdasarkan maklumat dan perkembangan semasa yang diberikan oleh syarikat berkenaan.

"Persidangan bersama Malakoff pada Jumaat lalu menyaksikan bahawa pelabur luar menunjukkan minat terhadap perancangan projek tenaga yang boleh diperbaharui itu.

"Pelabur berminat untuk mengetahui perancangan lanjut Malakoff berkaitan portfolio tenaga boleh diperbaharui selain perincian pengambilan tanah, tinjauan pendapatan dan pembayaran dividen," jelas CGS-CIMB Research.

Malakoff membuat penyusunan strategi syarikatnya untuk mengfokuskan kepada projek tenaga yang boleh diperbaharui yang seiring dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan jumlah penjanaan tenaga yang boleh di perbaharui di negara ini.

"Strategi Malakoff itu seiring dengan matlamat kerajaan untuk meningkatkan jumlah tenaga yang boleh diperbaharui kepada 20% daripada jumlah keseluruhan jumlah tenaga di Malaysia menjelang 2025.

"Malakoff sekali lagi merancang utk meningkatkan kapasiti RE setelah melepaskan 50% pemegangan saham dalam Macarthur Wind Farm dengan tenaga 420MW pada 2019.

Pada 22 September lalu, syarikat berkenaan mengumumkan akan mendapatkan tanah seluas 71.44 hektar di Alor Gajah Melaka.

Tanah yang berharga RM150 juta itu bertujuan untuk menjalankan projek pembangunan tenaga boleh diperbaharui pada masa hadapan seperti large scale solar (LSS), WTE, biomas dan loji biogas.

Ujar GGS-CIMB, tanah tersebut berpotensi untuk dipasang loji tenaga suria c.60 hingga 70 megawatt (MW) serta kilang waste-to-energy (WTE) c.20 hingga 25 MW termasuk tapak pelupusan sampah yang dapat menampung kira-kira 600 hingga 1,000 tan sampah pada setiap hari.

CGS-CIMB Research turut mengekalkan sasaran 'tambah' saham Malakoff dengan harga sasaran sesaham (TP) sebanyak RM1.05. - DagangNews.com