Prolexus failkan saman lagi terhadap South Malaysia Industries atas dakwaan langgar hak | DagangNews Skip to main content

Prolexus failkan saman lagi terhadap South Malaysia Industries atas dakwaan langgar hak

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 20 Dis - Dua anak syarikat Prolexus Bhd, yang secara kolektif memiliki 10.01% dalam South Malaysia Industries Bhd (SMI), menyaman SMI dan lembaga pengarahnya kerana didakwa melanggar hak mereka sebagai pemegang saham selepas SMI meminta lanjutan masa untuk mengadakan mesyuarat agung tahunan syarikat itu.

 

Saman tersebut difailkan selepas Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) membenarkan SMI sehingga 31 Mac 2024 untuk mengadakan AGM ke-52, daripada tarikh akhir sebelum ini pada 31 Disember 2023, berikutan permohonan daripada SMI untuk melanjutkan tarikh akhir.

 

Ini bukan kali pertama dua unit Prolexus iaitu Honsin Apparel Sdn Bhd, milik penuhnya dan HIQ Media (M) Sdn Bhd milik 51.91% — menyaman SMI.

 

Kedua-dua syarikat memfailkan saman terhadap SMI awal tahun ini kerana menghalang mesyuarat agung luar biasa yang mereka minta untuk memecat seluruh lembaga pengarah SMI dan menggantikan mereka dengan dua calon mereka.

 

Dalam tuntutan saman terbaru mereka, unit Prolexus memohon pengisytiharan mahkamah untuk menyatakan bahawa hak mereka telah dicabul dan pengarah SMI telah gagal menggunakan kuasa mereka untuk "tujuan yang betul dan dengan niat baik" dalam meminta lanjutan masa.

 

Merekau juga memohon pengisytiharan bahawa permohonan kepada SSM telah diminta oleh defendan untuk "menguatkan lagi kawalan mereka" ke atas lembaga syarikat, dan mereka mahu mahkamah mengisytikarkan pentaksahan, membatalkan dan tidak sah (invalidate, nullify and void) lanjutan masa yang diberikan oleh SSM.

 

Turut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu ialah Asian PAC Holdings Bhd dan lembaga pengarahnya, dan pemegang saham tunggal terbesar PAC Asia, Mah Sau Seong. Kedua-dua PAC Asia dan Mah adalah pemegang saham utama dalam SMI. Mah memiliki 32.33% dalam PAC Asia serta 7.648% dalam SMI, manakala PAC Asia memegang 11.56% dalam SMI.

prolexus

 

 

Sebagai reaksi kepada saman tersebut, SMI berkata dalam makluman di Bursa Malaysia bahawa lembaga pengarah melihat saman itu sebagai "remeh dan menyusahkan" kerana dakwaan plaintif mengandungi "kesilapan fakta".

 

"Isu mengadakan AGM adalah prerogatif pengurusan. Oleh itu, syarikat itu merancang untuk memohon agar saman kes itu dibuang kes," kata SMI.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Prolexus nafi langgar CMSA dalam pengambilalihan saham South Malaysia Industries | DagangNews

 

Mengenai EGM terdahulu yang diminta oleh Honsin dan HIQ untuk diadakan pada 24 Mac, unit Prolexus mahu lembaga pengarah SMI digantikan oleh Lee Boon Siong dan Tan Eik Huang. Kedua-dua Lee dan Tan adalah anggota lembaga pengarah YB Ventures Bhd, yang memiliki 17.72% kepentingan dalam Prolexus.

 

Menurut SMI, kedua-dua unit Prolexus itu juga mahu EGM diadakan secara maya sepenuhnya, dan mengehadkan EGM kepada hanya pemegang saham yang namanya tertera dalam rekod pendeposit pada 20 Feb di mana kedua-dua syarat yang dikatakan oleh SMI bertentangan dengan perlembagaan syarikat.

 

SMI juga berkata asas untuk mengadakan EGM secara maya sepenuhnya daripada kebimbangan kesihatan COVID-19 tidak lagi terpakai sekarang.

 

SMI kemudian memohon kepada mahkamah untuk mendapatkan pengisytiharan bahawa EGM yang dicadangkan adalah menyalahi undang-undang dan tidak berperlembagaan, yang ditolak oleh mahkamah.

 

Honsin dan HIQ, sebagai tindak balas, memohon perintah mahkamah untuk memaksa EGM supaya dibenarkan untuk diadakan, dengan keputusan mahkamah memihak kepada mereka. Bagaimanapun, SMI merayu keputusan ini dan berjaya mendapatkan penangguhan pelaksanaan, sementara menunggu rayuan penuh didengar.

 

Artikel berkaitan: South Malaysia Industries mohon mahkamah isytihar EGM 24 Mac ini menyalahi undang-undang | DagangNews

 

Di tengah-tengah semua ini, SMI membuat aduan kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia bahawa kedua-dua unit Prolexus telah bekerjasama dengan lebih 20 pihak dan memperoleh lebih 33% kepentingan dalam syarikat itu tanpa membuat tawaran am mandatori, seperti yang diperlukan di bawah peraturan pasaran modal.

 

Prolexus, yang unitnya membeli pegangan mereka dalam SMI pada Februari tahun ini, telah menafikan tuduhan itu. SC, dalam pada itu, berkata mereka sedang meneliti aduan SMI. - DagangNews.com