PropertyGuru: Pasaran hartanah kediaman Malaysia terus terjejas akibat bekalan dan permintaan berkurang | DagangNews Skip to main content

PropertyGuru: Pasaran hartanah kediaman Malaysia terus terjejas akibat bekalan dan permintaan berkurang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 9 Mei 2023 – Pasaran hartanah kediaman di Malaysia terus berdepan cabaran akibat bekalan dan permintaan berkurangan pada awal tahun ini berikutan prospek ekonomi yang malap, kata PropertyGuru Malaysia.

 

Menurut syarikat tersebut, Laporan Pasaran Hartanah PropertyGuru Malaysia (MPMR) suku kedua 2023 (2Q23) menunjukkan trend menurun dalam Indeks Permintaan Jualan, dengan pertanyaan mengenai hartanah menurun sebanyak 5.6% QoQ.

 

Walaupun projeksi inflasi dijangka sederhana dalam beberapa bulan akan datang, PropertyGuru berkata ketidakpastian ekonomi global mempengaruhi selera pembeli item bernilai tinggi di Malaysia, bagaimanapun, Indeks Bekalan Jualan menurun sedikit 0.6% memandangkan pemilik hartanah terus bersikap tunggu dan lihat terhadap pelaburan mereka.

 

Pengurus Negara Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), Sheldon Fernandez berkata kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) kepada 3% akan menyukarkan lagi pemulihan permintaan hartanah.

 

“Kemungkinan besar, bakal pembeli rumah akan menangguhkan pembelian mereka kerana kos pinjaman yang lebih tinggi dan kenaikan kos sara hidup. Masih terlalu awal untuk memastikan impak sepenuhnya kenaikan OPR ke atas pasaran,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

Sheldon Fernandez
Sheldon Fernandez

 

 

Di samping itu, hasil pantauan harga jualan hartanah tersenarai di propertyguru.com.my mendapati peningkatan Indeks Harga Jualan sebanyak 1.6% QoQ pada suku pertama 2023 (1Q23).

 

Walaupun Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan ekonomi sederhana pada tahun ini, PropertyGuru berkata pasaran hartanah mungkin lebih rancak apabila aktiviti ekonomi meningkat pada separuh kedua tahun ini, didorong pelaburan dari syarikat seperti Tesla dan AWS serta pelaburan RM170 bilion dari China.

 

Sementara itu, Indeks Permintaan Sewa menyusut 6.3%, selaras dengan trend pasaran jualan hartanah mungkin disebabkan oleh kenaikan tinggi harga sewa dengan Indeks Harga Sewa meningkat sebanyak 4.7% QoQ.

 

Peningkatan harga sewa disedari banyak pihak, di mana kerajaan negeri Selangor sudah mengumumkan pelan untuk meneliti kebolehlaksanaan peluasan Skim Smart Sewa untuk perumahan kos rendah.

 

“Penurunan permintaan sewa, seperti yang dinyatakan dalam laporan kami, menunjukkan bahawa rakyat Malaysia semakin berhati-hati dan mungkin memilih untuk tinggal bersama ahli keluarga dan berulang-alik ke bandar untuk bekerja dan tidak menyewa rumah sendiri,” kata Sheldon.

 

 

property

 

 

Bagaimanapun, pasaran hartanah kediaman di Johor menjadi tumpuan pada permulaan 2023 dan dijangka berterusan, didorong oleh pelaburan pusat data bernilai RM51.1 bilion.

 

“Oleh kerana kos pemilikan hartanah dijangka meningkat dengan kenaikan OPR, kami meramalkan pembeli dan penjual akan terus mengalami pasaran hartanah yang mencabar dan tidak pasti. Namun, kami masih optimis bahawa ekonomi akan menunjukkan pemulihan pada separuh kedua 2023,”tambah Sheldon. -DagangNews.com