KUALA LUMPUR 15 Dis - Kesukaran mendapatkan bahan bagi tebus guna tanah dijangka menyebabkan kelewatan proses pembesaran Pelabuhan Kontena Teluk Sapangar yang dijadualkan siap pada 1QFY25.
Menerusi pembesaran berterusan itu, kapasitinya akan meningkat dua kali ganda kepada 1.25 juta unit bersamaan dua puluh kaki (TEU) setahun.
MIDF Research berkata, kabinet negeri sebelum meluluskan kerjasama strategik antara Sabah Ports Sdn. Bhd. dan DP World, merangkumi pengurusan dan operasi SBCP.
"Walaupun butiran, termasuk struktur ekuiti, kekal terhad dan perbincangan mengenainya hampir selesai.
"Kerjasama itu berpotensi bagi menarik pelaburan langsung asing (FDI) utama dengan rancangan mewujudkan zon ekonomi bebas, hab logistik dan taman perindustrian," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.
Firma penyelidikan itu berkata, kerajaan negeri sebelum ini memberikan kelulusan awal untuk semakan semula tarif pelabuhan pada 2020, tetapi pelaksanaannya masih belum selesai kerana rundingan berterusan mengenai kenaikan itu.
Katanya,Suria Capital Holdings Berhad mungkin menjalani semakan menyeluruh, memandangkan tarif kekal tidak berubah selama lebih tiga dekad.
Kumpulan itu bersama Lembaga Pelabuhan Sabah telah memulakan perbincangan dengan pengguna pelabuhan mengenai kemungkinan kenaikan tarif.
"Kami menjangkakan peningkatan dalam jumlah kontena pada FY24 apabila kilang baharu SK Nexilis dan Kibing Group (beroperasi sejak Oktober 2023) membuat sumbangan secara berperingkat.
"Kilang pembuatan kaca solar Kibing Group mempunyai kapasiti pengeluaran tahunan sebanyak 440,000 tan/tahun dan dianggarkan menyumbang sehingga 36,000 TEU/tahun kepada SBCP," katanya.
MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Suria Capital dengan harga sasaran (TP) RM1.70 sesaham. - DagangNews.com