Prospek Cahya Mata Sarawak terus disokong status pengeluar simen tunggal negeri - MIDF Reearch | DagangNews Skip to main content

Prospek Cahya Mata Sarawak terus disokong status pengeluar simen tunggal negeri - MIDF Reearch

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 8 Dis - Prospek Cahya Mata Sarawak Berhad (CMS) terus disokong oleh statusnya sebagai pengeluar simen tunggal Sarawak buat masa ini, menjadikannya penerima manfaat aliran kerja pembinaan yang lebih kukuh negeri itu.

 

MIDF Research berkata pada masa ini, kilang simen kumpulan itu mempunyai kapasiti untuk mengeluarkan 2.75 juta tan simen setiap tahun dan pada kadar penggunaan loji kira-kira 54.5%, ini memadai untuk menampung permintaan simen Sarawak sebanyak 1.5 juta tan hingga 1.6 juta tan setiap tahun. 

 

"Pengurusan percaya bahawa prospek kekal kukuh untuk ekonomi Sarawak dalam jangka sederhana hingga panjang. 

 

"Kerajaan Persekutuan di bawah Belanjawan 2024, memperuntukkan RM5.8 bilion untuk pembangunan di Sarawak dan RM7.4 bilion untuk fasa kedua Jalan Penghubung Sarawak-Sabah (SSLR)," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut MIDF Research, pengurusan kumpulan itu telah menetapkan sasaran untuk memulakan pembinaan kilang klinker baharu bernilai RM750 juta di Mambong pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24), yang akan mengambil masa tiga tahun untuk disiapkan.

 

Kumpulan itu menandatangani perjanjian perundingan teknikal dengan Sinoma Industry Engineering (M) Sdn Bhd baru-baru ini berhubung pembinaan kilang klinker baharu itu. 

 

Firma itu berkata, dalam taklimat selepas keputusan semalam, pihak pengurusan berkata Sinoma akan menilai dan menjalankan kajian teknikal untuk klinker baharu dan pengoptimuman garis klinker sedia ada. 

 

Sinoma ialah anak syarikat Institut Reka Bentuk dan Penyelidikan Industri Simen Tianjin yang berpangkalan di China.

 

Kilang bahan mentah utama untuk pembuatan simen itu dijangka menjana pengeluaran harian sebanyak 6,000 tan metrik atau 1.9 juta tan metrik klinker setahun, membolehkan CMS meningkatkan kapasiti pengeluaran klinker tahunannya tiga kali ganda daripada 900,000 tan metrik pada masa ini kepada sejumlah 2.8 juta tan metrik. 

 

"Dengan ini, pihak pengurusan optimis bahawa ia tidak lagi perlu bergantung kepada klinker yang diimport, yang akhirnya menghasilkan kos operasi lebih rendah dan margin jangka panjang lebih baik kerana CMS akan mengawal bekalan klinker dan kos logistik yang stabil," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan CMS yang telah diselaraskan selepas keputusan suku ketiga tahun kewangan 2023 (3QFY23) kumpulan baru-baru ini dan mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM1.32 sesaham.

 

Pada pukul 9:46 pagi ini, saham CMS kekal pada RM1.03 dengan permodalan pasaran sebanyak RM1.1 bilion. - DagangNews.com