Prospek cerah Revenue Group, penganalisis kekal saranan 'beli' | DagangNews Skip to main content

Prospek cerah Revenue Group, penganalisis kekal saranan 'beli'

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Sept. - Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham firma pembayaran elektronik, Revenue Group Bhd. dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM2.28. 

 

Penganalisisnya, Tan J Young melihat Revenue Group memiliki prospek cerah dalam industri pembayaran elektronik yang semakin berkembang pesat di negara ini. 

 

Katanya, sebagai penyedia perniagaan kepada perniagaan kepada pelanggan (B2B2C) perisian sebagai perkhidmatan (SaaS), Revenue Group berupaya membentuk kerjasama dengan pelbagai pemain digital untuk menikmati aliran pendapatan jangka panjang. 

 

"Tambahan pula dengan pengambilalihan kepentingan dalam Wannatalk dan Scanpay membolehkan kumpulan membina ekosistem yang lengkap dengan mengintegrasikan keupayaan teras dalam pembayaran. 

 

"Sementara itu, pengambilalihan dalam VSure Tech Sdn Bhd (VSure) pula memudahkan Revenue Group memperluaskan dan mengembangkan lebih banyak persekitaran B2B2C dengan menyediakan produk yang inovatif dan perkhidmatan kepada pelanggan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Tahun lalu, kumpulan membeli 40% kepentingan dalam Wannatalk, syarikat yang menyediakan produk dan perkhidmatan berasaskan kecerdasan pintar (AI) bernilai RM5 juta.

 

Ia kemudiannya diikuti dengan pembelian 80% kepentingan dalan Scanpay, pengeluar e-duit berlesen dengan nilai RM1 juta.

 

Terbaharu pada Ogos lalu, kumpulan membeli 25% kepentingan dalam VSure sebanyak RM12 juta. VSure mengendalikan plaform insurans secara digital. 

 

Bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 30 Jun 2021, untung bersih Revenue Group susut 65.5% kepada RM1.28 juta berbanding RM3.71 juta bagi suku ketiga disebabkan jualan terminal Electronic Data Capture (EDC) yang lebih rendah meskipun pulangan dari segi sewaan dan penyelenggaraan adalah lebih baik. 

 

Keadaan ini juga disebabkan pendapatan suku ke suku yang lebih rendah, susut 39.6% kepada RM17.55 juta pada suku keempat itu, berikutan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) penuh. 

 

Untuk tahun kewangan 2021, kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM11.15 juta, meningkat 48.4% daripada RM7.51 juta bagi tahun kewangan 2020. 

 

Pendapatan juga berkembang 11% tahun ke tahun kepada RM86.96 juta berbanding RM78.38 juta bagi tempoh sama tahun lalu. 

 

Setakat 11.07 pagi ini, saham Revenue Group susut 6 sen atau 3.09% kepada RM1.88 dengan 2.37 juta saham diniagakan. - DagangNews.com