Prospek Daibochi dijangka hanya kembali pulih pada 2023, penganalisis semak turun penarafan | DagangNews Skip to main content

Prospek Daibochi dijangka hanya kembali pulih pada 2023, penganalisis semak turun penarafan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 29 Sept. - Daibochi Bhd. dilihat hanya akan kembali mencatat prestasi kewangan yang lebih baik pada tahun kewangan 2023 setelah pelan pengembangan jangka panjangnya membuah hasil. 

 

Prestasi Daibochi bagi suku keempat tahun kewangan berakhir 31 Julai 2021 kurang memberangsangkan apabila untung bersihnya merosot 20.8% kepada RM8.89 juta berbanding RM11.22 juta manakala pendapatan juga susut 14.2% kepada RM133.73 juta berbanding RM155.77 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Sehubungan itu, penganalisis CGS-CIMB, Kamarul Anwar mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi tahun kewangan 2022/2023 kepada 2 hingga 4% disebabkan jualan yang lebih rendah dan kos tinggi. 

 

Firma itu juga menyemak turun saranan kepada 'pegang' bagi saham Daibochi berbanding 'tambah' sebelum ini dengan harga sasaran RM2.70 berikutan cadangan syarikat induknya, Scientex Bhd. untuk menjadikannya sebagai syarikat persendirian. 

 

"Ketika sesetengah pelabur masih menanti harga tawaran lebih tinggi dalam cadangan pengambilalihan itu, syarikat induknya bagaimanapun bertegas mahu menyahsenarai kumpulan. 

 

"Walaupun, jika Scientex tidak mencapai pegangan 90% dalam Daibochi, ia dilihat tidak akan mematuhi sebaran pegangan awam seperti ditetapkan Bursa Malaysia, dan ini menyebabkan pelabur akan terperangkap dengan saham yang tidak boleh dicairkan," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pada 13 September lalu, Scientex mencadangkan untuk menjadikan Daibochi sebagai syarikat persendirian dengan membuat tawaran untuk memperoleh semua baki saham dan waran yang tidak dimiliki oleh pengeluar bahan pembungkusan fleksibel itu pada harga RM345.3 juta secara tunai.

 

Cadangan pengambilalihan sukarela itu memerlukan tawaran untuk membeli 38.12% saham Daibochi yang diterbitkan tidak termasuk saham perbendaharaan dengan harga RM2.70 setiap satu dan 95.75% waran tertunggak masing-masing pada harga 32 sen.

 

Tawaran ini memberi Scientex fleksibiliti dan autonomi yang lebih besar untuk merasionalisasi kegiatan perniagaannya dan menyelaraskan operasi Daibochi serta kumpulan Scientex yang diperbesarkan untuk mencapai kecekapan operasi lebih baik untuk mengembangkan perniagaan pembungkusan fleksibel tersebut.

 

Syarikat itu ketika ini memegang sebanyak 61.88% saham mengundi Daibochi.

 

Sementara itu, MIDF Research turut menyemak turun penarafan Daibochi kepada 'neutral' berbanding 'beli' sebelum itu. 

 

Harga sasaran juga dikekalkan pada RM2.70 selaras dengan tawaran harga pengambilalihan yang tidak berubah. 

 

"Di sebalik pendapatan 2021 memenuhi jangkaan kami, tetapi unjuran pendapatan bagi tahun kewangan dan 2023 dikurangkan masing-masing sebanyak 11.6% dan 12.1% kepada RM53.3 juta dan RM58.1 juta disebabkan peningkatan kos operasi. 

 

"Ia juga mengambil kira pengeluaran yang lebih rendah memandangkan operasi di Myanmar masih lagi berdepan cabaran ekoran ketidaktentuan politik di sebalik pembukaan semula pasaran kewangan dan perkhidmatan pelabuhan," jelasnya. - DagangNews.com