Prospek DXN Holdings diramal kekal positif disokong penerokaan pasaran baharu, kata CGS International | DagangNews Skip to main content

Prospek DXN Holdings diramal kekal positif disokong penerokaan pasaran baharu, kata CGS International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 6 Ogos - Prospek hasil DXN Holdings Bhd diramal kekal positif disokong pertambahan jumlah ahli, pelancaran produk dan penerokaan pasaran baharu.

 

CGS International berkata, walaupun terdapat sedikit penurunan dalam margin kasar disebabkan peningkatan kos bahan mentah, pergerakan pasaran strategik kumpulan dan kepelbagaian produk dijangka memacu pertumbuhan masa hadapan.

 

Katanya, kesan kenaikan kos bahan mentah telah dikurangkan sebahagiannya oleh kenaikan harga purata 8% pada FY24 bagi produknya di semua wilayah.

 

"Pengurusan DXN berhasrat untuk membuat pelarasan harga selanjutnya sekitar 9% untuk Peru dan 15% untuk Bolivia.

 

"Kumpulan itu berkembang ke pasaran Brazil pada Mei 2024 dengan pihak pengurusan bercadang untuk mewujudkan pusat perkhidmatan pada Ogos 2024 dan membuka pejabat di Sao Paulo City pada September tahun ini.

 

"Pengurusan juga berhasrat memasuki pasaran Argentina dan Chile menjelang akhir tahun ini, dengan 5,000 ahli aktif sedia ada di Argentina," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu juga merancang untuk melancarkan 81 produk baharu sepanjang 2024-2025 merentasi segmen makan dan minuman diperkaya (FFB) kesihatan dan makanan tambahan (HDS) serta penjagaan diri dan kosmetik (PCC) serta produk sedia untuk dimakan.

 

Katanya, pelancaran produk akan menjadi strategik dan fokus kepada pasaran tertentu bagi memanfaatkan corak perbelanjaan yang berbeza serta permintaan untuk jenis produk tertentu dalam pasaran yang berlainan. 

 

"Kami menjangkakan aliran tunai kumpulan yang kukuh dan kedudukan tunai bersih sebanyak RM469.1 juta pada akhir 1QFY25 seharusnya membolehkan peningkatan dalam nisbah pembayaran dividen," katanya.

 

CGS International mengekalkan saranan 'tambah' dengan harga sasaran (TP) 85 sen sesaham. - DagangNews.com