Prospek ekonomi jangka pendek kekal optimis | DagangNews Skip to main content

Prospek ekonomi jangka pendek kekal optimis

 

 

KUALA LUMPUR 24 Mac - Prospek ekonomi negara bagi jangka pendek kekal optimis apabila Indeks Pelopor (IP) meningkat kepada 110.0 mata pada Januari 2021 daripada 101.7 mata pada bulan yang sama tahun lalu. 

 

Ini untuk mencapai pertumbuhan tahunan sebanyak 8.2%, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia. 

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, kenaikan IP disokong oleh peningkatan berterusan dalam Indeks Perusahaan Bursa Malaysia yang disumbangkan oleh Indeks Penjagaan Kesihatan dan Indeks Pengangkutan dan Logistik. 

 

Sejajar dengan itu, katanya, IP menunjukkan peningkatan 0.7% berdasarkan perbandingan bulanan. 

 

Pertumbuhan ini disumbangkan terutamanya oleh Jangkaan Nilai Jualan di sektor Pembuatan (0.7%). 

 

"Pada masa sama, kadar pertumbuhan IP terlicin kekal di atas trend yang menunjukkan bahawa prospek ekonomi Malaysia jangka pendek kekal optimis, selari dengan inokulasi vaksin. 

 

"Selain itu, langkah-langkah pengekangan ekonomi yang semakin mereda meningkatkan harapan untuk mengawal kesan terhadap ekonomi," kata beliau.

 

Berdasarkan laporan itu, Indeks Serentak (IS) turun 0.4% untuk mencapai 111.0 mata pada Januari 2021 daripada 111.4 mata pada bulan sebelumnya. 

 

Ini disokong oleh penurunan yang signifikan Nilai Caruman Benar kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (-0.5%). 

 

Begitu juga, prestasi IS yang mencerminkan keadaan ekonomi semasa perlahan kepada pertumbuhan tahunan negatif 2.2% pada Januari 2021 daripada negatif 1.3% pada bulan sebelumnya.

 

Beliau menjelaskan, penurunan Indeks Serentak mencerminkan pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tiga peringkat bermula pada 13 Januari 2021 sebagai tindakan yang tegas untuk memutuskan rangkaian jangkitan dan penularan COVID-19.

 

Indeks Difusi bagi IP menunjukkan trend menurun pada Januari 2021 dengan mencatatkan 57.1%. Selain itu, Indeks Difusi bagi IS kekal pada 66.7% seperti pada bulan sebelumnya. - DagangNews.com