Prospek ekonomi lebih baik, KLCI ditutup tinggi | DagangNews Skip to main content

Prospek ekonomi lebih baik, KLCI ditutup tinggi

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Mac - Indeks penanda aras pasaran saham tempatan, FBM KLCI mengakhiri sesi dagang pada hari pertama minggu ini dengan 0.3% atau 5.23 mata lebih tinggi kepada 1,620.92.

 

Ini menyaksikan sebanyak 611 kaunter untung mengatasi 586 kaunter rugi dengan nilai dagangan mencecah 10.30 bilion.

 

Nestle (Malaysia) Berhad masih mengungguli kaunter untung, diikuti oleh, antaranya Dataprep Holdings Berhad, Hong Leong Industries Berhad, Petronas Dagangan Berhad, Cheetah Holdings Berhad, Computer Forms (Malaysia) Berhad, Kejuruteraan Asastera Berhad, PMB Technology Berhad, Hong Leong Bank Berhad dan Optimax Holdings Sdn Bhd.

 

Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd,  Adam Mohamed Rahim melihat lonjakan lebih tinggi itu seiring pasaran Asia lain.

 

Katanya, trend meningkat di pasaran serantau dipacu oleh terutamanya prospek ekonomi yang lebih baik susulan pakej rangsangan COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) telah diluluskan pada minggu lalu. 

 

“Pemangkin lain buat pasaran termasuk pengeluaran industri di China yang lebih baik daripada jangkaan, di mana melonjak 35.1% tahun ke tahun (y-o-y) dalam tempoh dua bulan pertama 2021 menunjukkan terdapat pemulihan ekonomi. 

 

“Oleh itu, tidak mengejutkan jika kaunter perbankan meraih minat pelabur hari ini dengan kaunter perbankan di bawah indeks FBM KLCI seperti CIMB, Hong Leong dan Maybank mencatatkan lonjakan pada hari Isnin, mendorong Indeks Perkhidmatan Kewangan Bursa Malaysia menokok 0.6%,” katanya kepada DagangNews.com. 

 

Dalam pada itu, beliau juga melihat terdapat trend meningkat dalam harga minyak mentah Brent yang melonjakkan Indeks Tenaga Bursa Malaysia sebanyak 1.6%, sekali gus menjadi sektor untung terbesar hari ini. - DagangNews.com