Prospek ekonomi Malaysia lebih cerah 2021 | DagangNews Skip to main content

Prospek ekonomi Malaysia lebih cerah 2021

 


Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 18 Dis. - Ringgit diunjur berlegar sekitar RM4 dan RM4.05 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada 2021 disokong oleh faktor luaran dan dalaman. 

 

PublicInvest Research berkata, prestasi ringgit juga dipacu pemulihan harga minyak, normalisasi dasar di Malaysia dan rantau ini, sentimen pelabur yang diperbaharui terhadap negara ekonomi baharu muncul dan perjanjian dagangan kali kedua AS-China yang lebih baik. 

 

Dalam masa sama, katanya, ketidaktentuan ringgit semakin mereda disebabkan status quo kemajuan dasar ekonomi yang mungkin kekal hingga 2022. 

 

"Namun, prospek pemulihan ekonomi yang lebih kukuh selepas pandemik COVID-19 dan kemungkinan pilihan raya umum diadakan pada tahun hadapan dilihat akan terus menyokong ringgit," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Bank pelaburan itu juga menjangkakan ekonomi Malaysia akan berkembang 6.2% pada tahun hadapan. 

 

Pertumbuhan ekonomi akan dipacu oleh sektor swasta dengan penggunaan swasta dijangka berkembang melepasi paras purata semasa, disokong oleh inisiatif penggunaan besar-besaran pada 2020 dan 2021. 

 

Malah, katanya, pertumbuhan ekonomi pada tahun hadapan, antara lain disokong pemulihan ringgit secara berterusan dan keupayaan mencukupi untuk menyokong pertumbuhan. 

 

"Kami optimistik dengan perkembangan ekonomi pada 2021 walaupun pandemik COVID-19 mengheret pertumbuhan global. 

 

"Apatah lagi, dengan sokongan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM305 bilion, trajektori pertumbuhan Malaysia akan pulih dengan ketara, meningkatkan pengeluaran ke tahap sebelum pandemik dan meletakkan negara dalam kalangan ekonomi yang mencatat pertumbuhan pantas di rantau ini," katanya. 

 

Menurut PublicInvest, kadar dasar semalaman juga dijangka akomodatif pada tahun hadapan memandangkan kesan penangguhan dasar intervensi pada 2020. 

 

Ia menjangkakan indeks FBM KLCI akan mengakhiri dagangan pada 2021 dengan 1,750 mata.

 

Mengenai harga komoditi pula, katanya, ia akan kembali pulih pada 2021 didorong oleh kejayaan mengawal jangkitan COVID-19 di seluruh dunia. 

 

Ini akan mendorong permintaan kepada produk komoditi disokong dengan pendapatan boleh lupus yang tinggi dan pasaran pekerjaan lebih baik. 

 

"Kami menjangkakan pemulihan akan berlaku ke atas harga komoditi utama, kecuali harga minyak di tengah-tengah ketidakseimbangan antara penawaran dan permintaan yang berterusan," katanya. - DagangNews.com