Prospek Favelle Favco kekal mencabar, MIDF semak turun unjuran pendapatan | DagangNews Skip to main content

Prospek Favelle Favco kekal mencabar, MIDF semak turun unjuran pendapatan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - MIDF Research mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Favelle Favco Bhd., tetapi menyemak semula harga sasarannya lebih rendah kepada RM2.72 berbanding RM3 sebelum itu. 

 

Malah, firma itu juga mengurangkan unjuran pendapatan bagi tahun kewangan 2021 dan 2022 masing-masing sebanyak 16.6% kepada RM69.2 juta dan 1.4% kepada RM88.7 juta. 

 

"Semakan semula lebih rendah ini dibuat setelah mengambil kira beberapa projeknya yang tertangguh disebabkan sekatan pergerakan bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19.

 

"Prospeknya juga masih kekal mencabar pada separuh kedua ini, setelah menyaksikan tempahan yang perlahan pada awal tahun ini akibat pandemik, justeru, kumpulan dilihat akan mengambil langkah berhati-hati dalam memenuhi operasi perniagaannya," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Semalam, Favelle Favco memaklumkan, ia memiliki nilai kontrak hampir RM584 juta daripada pelanggan bagi segmen minyak dan gas (O&G) global, limbungan, pembinaan, industri turbin angin dan automasi pintar setakat 16 September 2021, meskipun beroperasi di sebalik persekitaran mencabar.

 

Kumpulan merekodkan untung bersih sebanyak RM13.55 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2021, meningkat 79% berbanding RM7.57 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya manakala pendapatan meningkat 57.2% kepada RM153.11 juta.

 

Bagi tempoh separuh pertama, untung bersihnya meningkat 30.28% kepada RM25.37 juta berbanding RM19.48 juta tahun sebelumnya manakala perolehan meningkat 13.7% kepada RM275.21 juta.

 

Bagaimanapun, MIDF Research percaya Favelle Favco akan mengekalkan pendapatannya pada separuh kedua menerusi perolehan kontrak baru-baru ini dan yang sedang berjalan. 

 

Pada masa sama, katanya, permintaan minyak dan gas yang semakin meningkat dalam kalangan pengguna dan perindustrian di seluruh dunia akan melonjakkan pasaran tenaga global.

 

"Ini secara tidak langsung meningkatkan keperluan terhadap kren limbungan dan luar pesisir dalam aktiviti operasi.

 

"Selain itu, perkhidmatan penyewaan dan automasi kumpulan turut memainkan peranan penting yang menyumbang kepada peralihan tenaga dalam sektor minyak dan gas dengan projek berkaitan gas asli cecair dan diperbaharui," jelas firma berkenaan. - DagangNews.com