Prospek harga minyak sawit mentah bagi 2024 dijangka lembap pada RM3,800 ekoran permintaan kekal suram – PublicInvest | DagangNews Skip to main content

Prospek harga minyak sawit mentah bagi 2024 dijangka lembap pada RM3,800 ekoran permintaan kekal suram – PublicInvest

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 13 Dis - Public Investment Bank Research kekal ‘neutral’ terhadap sektor perladangan dan menjangkakan prospek harga minyak sawit mentah (MSM) lembap pada RM3,800 setiap tan tahun depan, dihadkan oleh pengeluaran lebih tinggi manakala permintaan kekal suram.

 

PublicInvest berkata inventori minyak sawit Malaysia telah mencatat penurunan mengejut pada November akibat kemerosotan pengeluaran lebih ketara berbanding kejatuhan eksport dan harga niaga hadapan MSM setakat ini meningkat RM27 kepada RM3,768 setiap tan.

 

“Susulan penurunan pengeluaran dalam November, kami berpendapat pengeluaran buah tandan segar Malaysia telah memuncak pada Oktober.

 

“Pokok kelapa sawit telah memasuki kitaran pengeluaran rendah dan kami menjangkakan tahap pengeluaran negara akan menurun pada bulan-bulan berikutnya,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma penyelidikan itu, inventori minyak sawit telah menurun daripada paras tertinggi empat tahun, di mana ia secara mengejut merosot 1.1% bulan ke bulan (MoM) kepada 2.42 juta tan pada November berbanding anggaran pasaran dengan keuntungan 1.2% dan juga merupakan penurunan pertama sejak April 2023.

 

Tambahnya, nisbah stok kepada penggunaan sedikit lebih rendah pada 10.9% kerana kemerosotan pengeluaran adalah lebih besar daripada penurunan eksport.

 

Walaupun permintaan eksport lebih kukuh daripada semua negara pengguna utama kecuali China (-15%), PublicInvest berkata eksport minyak sawit jatuh 5.7% MoM kepada 1.39 juta tan dan untuk 11 bulan pertama, eksport minyak sawit Malaysia merosot 3.4% YoY kepada 13.7 juta tan, terutamanya diheret oleh permintaan lebih lemah dari China.

 

Sebaliknya, firma itu berkata permintaan Eropah telah menyaksikan peningkatan ketara tahun ini sebanyak 135% YoY dan ia kini telah menjadi pembeli minyak sawit terbesar dari Malaysia.

 

“Kami percaya permintaan yang kukuh berkemungkinan disebabkan oleh pengumpulan inventori biodiesel menjelang pelaksanaan Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah menjelang akhir 2024,” tambahnya.

 

PublicInvest berkata tahap pengeluran MSM berkurangan buat kali pertama dalam enam bulan sejak Jun 2023 sebanyak 7.7% MoM kepada 1.78 juta tan berikutan pengeluaran dari Semenanjung Malaysia dan Malaysia Timur masing-masing jatuh 7.4% dan 8%.

 

Walaupun harga MSM dijangka lembap pada 2024, firma penyelidikan itu berpendapat bahawa majoriti syarikat perladangan boleh mencapai keuntungan lebih baik berdasarkan kos pengeluaran MSM yang lebih rendah berikutan penurunan mendadak dalam harga baja.

 

Manakala hasil buah tandan segar yang bertambah baik disebabkan kekurangan pekerja telah mereda seharusnya membantu meningkatkan pengeluaran buah tandan segar.

 

“Secara keseluruhan, kami menjangkakan untuk melihat pertumbuhan pendapatan purata sebanyak 12% bagi syarikat perladangan di bawah liputan kami,” tambahnya. - DagangNews.com