Prospek kekal malap, Kossan akan mula alami kerugian pada FY23 - HLIB | DagangNews Skip to main content

Prospek kekal malap, Kossan akan mula alami kerugian pada FY23 - HLIB

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 13 Feb - Prospek Kossan Rubber Industries Bhd. dijangka kekal malap dan akan mula mencatat kerugian bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023 (FY23) terutamanya disebabkan penurunan harga jualan purata (ASP) sarung tangan getah. 

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research mendapati pemain sarung tangan nitril China telah mengurangkan harga kepada kira-kira AS$13.50 setiap 1,000 keping untuk terus mempertahankan bahagian pasaran, manakala sarung tangan nitril Kossan pula berharga AS$16 buat masa ini. 

 

Ia menjangkakan ASP akan terus tertekan dalam suku akan datang, memandangkan keseimbangan permintaan-bekalan mengambil masa untuk kembali reda.

 

"Selain itu, Kossan juga berdepan masalah tekanan kos dan kadar penggunaan rendah. Disebabkan semakan semula gaji minimum dan kekurangan tenaga buruh sebelum ini, kos buruh Kossan kekal tinggi. 

 

"Keadaan ini akan menjadi lebih teruk menjelang FY23, kerana kami menjangkakan kos bahan api dan kos elektrik juga akan meningkat," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Mengambil kira faktor-faktor tersebut, HLIB mengurangkan unjuran keuntungan bagi FY22 sebanyak RM179.3 juta disebabkan terutamanya anggaran kadar penggunana yang lebih rendah dan pelarasan kadar tukaran ringgit/dolar Amerika Syarikat (AS). 

 

Malah, firma itu juga menjangkakan syarikat pengeluar sarung tangan itu akan mencatat kerugian sebanyak RM29.4 juta pada FY23 sebelum kembali untung sebanyak RM150.9 juta bagi FY24. 

 

Secara keseluruhan, ia mengekalkan saranan 'pegang' terhadap Kossan dengan harga sasaran lebih rendah pada RM1 daripada RM1.12 sesaham sebelum ini. 

 

Menurutnya, Kossan kini memiliki tunai sebanyak RM2.02 bilion (termasuk tunai RM1.33 bilion dan pelaburan pasaran wang RM690 juta), yang mampu membantu kumpulan mengharungi saat mencabar.

 

Katanya, di sebalik persekitaran operasi yang mencabar, pihak pengurusan tetap komited untuk membayar dividen untuk tahun kewangan yang menguntungkan, mematuhi dasar dividennya sebanyak 30%.

 

"Pada masa sama, pelan pengembangan Kossan juga tertangguh, memandangkan pada kadar penggunaan rendah kira-kira 50% adalah mencukupi untuk menampung pesanan sedia ada," jelasnya.

 

Setakat 10.33 pagi, harga saham Kossan susut 0.5 sen atau 4.55% kepada RM1.05 dengan 1.88 juta saham diniagakan. - DagangNews.com