Prospek keuntungan FY21 Dialog lebih meyakinkan  - CGS CIMB | DagangNews Skip to main content

Prospek keuntungan FY21 Dialog lebih meyakinkan  - CGS CIMB

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 8 Jan. - Kadar keuntungan bersih tahun kewangan 2021 (FY21) yang bakal diraih kumpulan syarikat minyak dan gas, Dialog Group Berhad dijangka lebih meyakinkan. 

 

Hasil pertemuan antara firma penyelidik, CGS-CIMB Research dan kumpulan syarikat itu baru-baru ini, Dialog diunjur mencatatkan keuntungan bersih yang mendatar pada tahun kewangan itu.

 

Ini lebih baik daripada unjuran penyusutan sehingga 7.6% yang diramalkan CGS-CIMB sebelum ini. 

 

“Sementara itu, kami menjangkakan keuntungan bersih FY22 Dialog akan meningkat 34.2% berbanding tahun sebelumnya, disumbangkan oleh impak sepanjang tahun dari semua pendorong pendapatan yang diramalkan ,” jelas CGS-CIMB dalam nota kajiannya. 

 

Menurut firma penyelidik itu, Dialog mencatatkan aliran kerja yang kukuh pada suku tahun bermula Oktober hingga Disember 2020, diraih daripada pemulihan dalam aktiviti penyelenggaraan kilang di Malaysia, Singapura dan New Zealand.

 

Dalam pada itu, Dialog juga telah mula melaksanakan beberapa projek kejuruteraan, perolehan dan pembinaan (EPCC) yang diperoleh. 

 

Malah, harga minyak juga mula memulih bermula penghujung 2020 didorong keyakinan pelancaran vaksin COVID-19. 

 

Dalam perkembangan lain, Dialog mendedahkan kepada CGS-CIMB bahawa program sukuk bernilai RM3 bilion yang dilaksanakan kumpulan syarikat itu disasarkan untuk mempelbagaikan sumber pembiayaannya. 

 

Ini berikutan kebanyakan bank telah menyenaraikan Dialog sebagai syarikat minyak dan gas dan pemberian pembiayaan dikurangkan.

 

Setakat ini, sebanyak RM500 juta sukuk telah diterbitkan pada kadar 4.15%. 

 

“Hanya satu bank sahaja mengklasifikasikan terminal tangki Dialog sebagai infrastruktur dan mengeluarkan pinjaman atas dasar itu,” tambah CGS-CIMB lagi. 

 

CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘tambah’ saham Dialog dengan harga sasaran (TP) tidak berubah kepada RM4.91. 

 

Setakat 10.53 pagi, Dialog menyaksikan nilai saham merudum RM0.05 kepada RM3.30 daripada paras yang ditutup semalam, RM3.35. - DagangNews.com