Prospek kewangan Haily menyakinkan - Penganalisis | DagangNews Skip to main content

Prospek kewangan Haily menyakinkan - Penganalisis

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 7 Julai - Firma penyelidikan, TA Securities optimis terhadap prospek kewangan kumpulan syarikat yang baru melancarkan tawaran awam awal (IPO) baru-baru ini, Haily Group Berhad. 

 

Ini memandangkan Haily mempunyai nilai pesanan buku yang sihat, berjumlah RM249.6 juta setakat 10 Jun 2021, menggambarkan kira-kira 1.5x hasil tahun kewangan 2020 (FY20) kumpulan, menurut penganalisisnya, Chan Mun Chun.

 

“Pesanan buku yang belum dibilkan itu terdiri daripada 18 projek pembangunan untuk perumahan dan bukan perumahan serta dua projek kejuruteraan awam. 

 

“Ini dijangka merangkumi perolehan kumpulan untuk tempoh dua tahun akan datang,” jelas Mun Chun dalam satu nota kajian.

 

Haily yang bakal disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad pada 21 Julai ini, menyasarkan untuk meraih RM20.4 juta melalui proses IPO.

 

Baca : Haily sasar IPO raih RM20.4 juta menjelang penyenaraian di Pasaran ACE 21 Julai 

 

IPO berkenaan melibatkan terbitan awam sebanyak 30 juta saham baharu pada harga 68 sen sesaham, mewakili kira-kira 16.83% daripada modal saham terbitan syarikat yang diperbesar.

 

Dari segi pro forma, Mun Chun menjangkakan kunci kira-kira kumpulan bakal menyaksikan kedudukan tunai bersih bernilai RM38.3 juta atau 21.5 sen sesaham selepas penyenaraian dan penggunaan hasil IPO.

 

Kumpulan berhasrat untuk mengedarkan dividen sekurang-kurangnya 30% daripada keuntungan bersih kepada pemegang saham.

 

Sementara penganalisis di RHB Research, Muhammad Danial Abd Razak memulakan nilai saksama saham Haily pada kadar 76 sen, sejajar penilaian berpelbagai oleh pesaing setaranya. 

 

“Ini bermakna, kemungkinan penilaian semula harga saham selanjutnya tidak dapat dielakkan.

 

“Ini berdasarkan jangkaan kami bahawa Haily mempunyai potensi baik untuk mencapai margin keuntungan bersih lebih tinggi dan meraih kontrak baharu daripada buku tendernya yang sedia ada,” ujar Muhammad Danial.

 

Beliau mengunjurkan kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) perolehan FY20 hingga FY23 Haily sekitar 7%. 

 

Ini sebahagian besarnya sejajar dengan prospek pesanan baharu, dengan andaian projek yang akan disempurnakan setiap tahun bernilai RM200 juta. 

 

Muhammad Danial percaya Haily mampu mengembangkan lagi margin keuntungan bersihnya, jika kumpulan meraih lebih banyak kontrak bagi projek pembangunan bukan perumahan, yang kebiasaannya mendatangkan margin lebih tinggi. 

 

“Buat masa ini, kami percaya produktiviti di tapak pembinaan, sebahagian besarnya akan terhad, akibat kadar kapasiti pekerja yang dibenarkan kerana kebergantungan yang tinggi terhadap output tenaga buruh untuk menjana hasil.

 

“Walaupun pada kapasiti 60%, kami tidak menafikan impak ke atas perolehan akan terjejas. Ini terutamanya jika Malaysia tidak beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang Ogos depan. 

 

“Dari aspek positif, kami percaya pertumbuhan perolehan Haily selepas tempoh jangka pendek ini masih mampan,” tambah beliau lanjut. - DagangNews.com