Prospek Leong Hup didorong perkembangan operasi di luar negara - Malacca Securities | DagangNews Skip to main content

Prospek Leong Hup didorong perkembangan operasi di luar negara - Malacca Securities

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 1 Sept - Prospek masa hadapan Leong Hup International Berhad didorong oleh perkembangan berterusan kilang makanannya di Filipina selain kemudahan pengeringan bahan mentah dan kilang memproses ayam di Indonesia.

 

Malacca Securities berkata, bagaimanapun kumpulan itu komited untuk memberi perhatian kepada pelan pengembangan hiliran di seluruh cawangan Baker's Cottage.

 

"Sebarang kekurangan bekalan disebabkan kemarau yang melonjakkan harga komoditi akan memberi tekanan kepada margin keuntungan kumpulan.

 

"Kumpulan itu juga berhadapan ketidaktentuan situasi daripada campur tangan kerajaan dalam menetapkan harga siling ayam," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, untung bersih 2QFY22 kumpulan meningkat 32.77% kepada RM40.5 juta daripada RM30.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu dipacu oleh sumbangan daripada segmen berkaitan produk ternakan.

 

Hasil suku tahun juga meningkat 22.57%kepada RM2.27 bilion daripada RM1.85 tahun lalu dengan hasil daripada jualan produk berkaitan ternakan dan ayam meningkat 28% kepada RM1.27 bilion daripada RM992.5 juta.

 

Firma itu berkata, memandangkan pendapatan kumpulan melebihi jangkaan, mereka meningkatkan unjuran pendapatan FY22 dan FY23 masing-masing sebanyak 31.5% dan 18.9% kepada RM120.7 juta dan RM165.2 juta.

 

Katanya, unjuran pendapatan itu mengambil kira permintaan yang bertambah baik di semua negara operasi kumpulan yang akan menghasilkan pertumbuhan jualan yang lebih tinggi pada masa hadapan.

 

"Kami menyemak naik penarafan kumpulan kepada 'pegang' berbanding 'jual' dengan harga sasaran (TP) lebih tinggi sebanyak 53 sen berbanding 40 sen sebelum ini," katanya. - DagangNews.com