Prospek pendapatan KLCCP Staple Group diunjur terus stabil - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Prospek pendapatan KLCCP Staple Group diunjur terus stabil - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 15 Ogos - Prospek pendapatan KLCCP Stapled Group diunjur terus stabil hasil sumbangan daripada segmen pejabat dan serta hasil yang lebih baik daripada bahagian runcit.

 

MIDF Research berkata, pemulihan dalam jumlah pembeli seharusnya menyokong prospek pengembalian sewa yang positif pada masa hadapan.

 

"Kami menjangkakan segmen hotel yang diwakili Mandarin Oriental, Kuala Lumpur terus merekodkan pemulihan pendapatan berikutan peningkatan kadar ketibaan pelancong," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Terdahulu, segmen perkhidmatan pengurusan yang terdiri daripada pengurusan kemudahan dan perkhidmatan pengurusan tempat letak kereta menyaksikan peningkatan pendapatan sebanyak 43.7%.

 

Segmen runcit yang terdiri daripada Suria KLCC dan podium runcit Menara 3 Petronas pula mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 2.6%.

 

BACA JUGA: Keuntungan bersih KLCCP Stapled Group meningkat 9% kepada RM180.8 juta bagi 2QFY23

 

Segmen pejabat kekal stabil, disokong oleh penyusunan Triple Net Lease (TNL) dan pajakan jangka panjang aset pejabatnya iaitu, Menara Berkembar Petronas, Menara 3 Petronas, Menara ExxonMobil dan Menara Dayabumi.

 

Firma penyelidikan itu berkata, segmen pejabat mencatatkan untung sebelum cukai yang lebih tinggi (+1.3%), disokong oleh perjanjian pajakan panjang.

 

Segmen runcit katanya, menyumbang untung yang lebih tinggi (+12.3%) apabila jumlah pembeli dan penyewa mencatatkan sewa positif.

 

"Kerugian sebelum cukai segmen hotel mengecil dengan ketara kepada RM4.9 juta pada 1HFY23 berbanding kerugian sebelum cukai sebanyak RM21.1 juta pada 1HFY22 disebabkan pembukaan semula sempadan negara dan ketibaan pelancong yang lebih tinggi," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM7.08 sesaham. - DagangNews.com