Prospek perdagangan menggalakkan, RHB Investment unjur Indeks Pengeluaran Perindustrian kembali meningkat pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Prospek perdagangan menggalakkan, RHB Investment unjur Indeks Pengeluaran Perindustrian kembali meningkat pada 2024

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Jan - RHB Investment mengunjurkan momentum Indeks Pengeluaran Perindustrian Malaysia (IPP) Malaysia kembali meningkat pada 2024, selaras dengan prospek perdagangan lebih menggalakkan dan minat pelaburan yang semakin baik.

 

Selain itu katanya, lebih banyak isyarat pemulihan prestasi eksport pada separuh pertama 2024 manakala peningkatan import barangan juga memperlihatkan potensi pertumbuhan aktiviti pembuatan pada bulan akan datang. 

 

“Pandangan optimis ini adalah berpandukan kepada tiga pemangkin utama iaitu prospek perdagangan bertambah baik, banyak tanda pemulihan bagi kitaran teknologi global dan aktiviti ekonomi domestik yang kukuh.

 

“Banyak isyarat yang menunjukkan peningkatan semula eksport pada separuh pertama 2024 memandangkan penghantaran ke luar negara meraih momentum sejak suku keempat 2023,” katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Indeks Pengeluaran Perindustrian meningkat marginal 0.6% pada November 2023 - DOSM

 

RHB Investment berkata, peningkatan penghantaran keluar ke destinasi utama, termasuk China, Amerika Syarikat (AS) dan Singapura.

 

"Kami percaya bahawa prestasi eksport Malaysia disokong pemulihan ekonomi China pada 2024, kerana produk eksport utama, seperti elektrik dan elektronik (E&E), mesin dan peralatan serta barangan perkilangan lain, menguasai bahagian besar perdagangan di China," katanya.

 

Katanya, sektor eksport dan pembuatan juga akan menerima permintaan yang kukuh untuk produk E&E dalam beberapa bulan akan datang, termasuk semikonduktor dan produk E&E pengguna.​

 

Sementara itu, penggunaan domestik dan aktiviti pelaburan yang lebih tinggi dijangka menyokong sektor pembuatan tahun ini, memandangkan peningkatan dalam selera pelaburan, seperti yang ditunjukkan oleh import barangan yang lebih tinggi dan pembentukan modal yang teguh. - DagangNews.com