Prospek perolehan IGB REIT ‘suram’ - MIDF | DagangNews Skip to main content

Prospek perolehan IGB REIT ‘suram’ - MIDF

Gambar www.igbbhd.com
 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 27 April - Firma penyelidikan, MIDF Research melihat prospek bagi perolehan syarikat hartanah, IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) dijangka suram. 

 

Ini susulan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia baru-baru ini mungkin menjejaskan jumlah kehadiran pengunjung di pusat beli-belahnya seperti Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall, menurut penganalisis di MIDF, Jessica Low.

 

“Kami menyemak turun unjuran perolehan kumpulan bagi tahun kewangan 2021 (FY21) dan FY22, masing-masing sebanyak -13.9% dan -6.3% setelah mengambil kira pendapatan sewa yang lebih rendah,” katanya dalam sebuah nota kajian hari ini.

 

Menurut beliau, pendapatan bersih IGB REIT bagi suku pertama FY21 (1Q21) iaitu RM43.7 juta juga di bawah unjurannya.

 

Katanya, penyusutan itu mungkin disebabkan oleh pendapatan sewa yang lebih lemah daripada jangkaan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

 

“Pendapatan sewa terjejas akibat PKP 2.0 kerana bantuan sewa yang diberikan kepada penyewa. Untuk rekod, IGB REIT menawarkan sokongan sewa kepada penyewanya memandangkan ada antara mereka yang tidak dibenarkan beroperasi semasa PKP 2.0.

 

“Selain itu, perolehan kumpulan juga diheret turun oleh pendapatan tempat letak kereta yang lebih rendah di Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall semasa tempoh PKP 2.0,” ujar Low lanjut.

 

MIDF mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas saham IGB REIT dengan sasaran harga (TP) disemak turun kepada RM1.59. 

 

“Kami terus melihat prospek yang mencabar buat pusat beli-belah di Lembah Klang dalam masa terdekat ini kerana peningkatan kes COVID-19 di Malaysia. 

 

“Oleh itu, kami mengekalkan penarafan ‘neutral’ ke atas IGB REIT. Sementara itu, kadar hasil dividen dijangka pada tahap 3.9% bagi FY21,” tambah beliau. 

 

Setakat 10.23 pagi, nilai saham IGB REIT menyusut 3 sen atau 1.69% kepada RM1.74. - DagangNews.com