Prospek pertumbuhan Gamuda didorong projek pembangunan tempatan, luar negara – CGS-CIMB | DagangNews Skip to main content

Prospek pertumbuhan Gamuda didorong projek pembangunan tempatan, luar negara – CGS-CIMB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Mac - Prospek pertumbuhan baharu Gamuda Berhad utuh memandangkan kumpulan itu berpotensi memperoleh beberapa projek tempatan dan di luar negara.

 

Menurut CGS-CIMB Research, kumpulan itu mempunyai peluang pertumbuhan daripada kontrak MRT3, Penang South Island (PSI), pekerjaan di luar negara dan pengembangan ke ruang tenaga boleh diperbaharui (RE).

 

Kumpulan itu juga telah memaklumkan bahawa buku pesanan tertunggak menuju ke paras tertinggi baharu sepanjang masa sebanyak RM20.5 bilion selepas pengambilalihan Downer Transport Projects (DTP) di Australia menjelang pertengahan tahun ini.

 

Sementara itu, di peringkat domestik, kumpulan itu yakin dapat memperoleh kontrak MRT3 untuk projek terowong terbesar MRT3 berikutan harga tender yang dilaporkan paling rendah pada RM13.3 bilion, melalui usaha sama Gamuda-MMC.

 

“Kami mendapati bahawa potensi pengurangan kos sasaran RM5 bilion (10%) untuk MRT 3 kepada kira-kira RM45 bilion melibatkan kerja sivil dan sistem, pengurusan projek dan pengambilan tanah tidak mungkin mengakibatkan proses tender semula,” jelas firma penyelidikan itu dalam nota hari ini.

 

Pemberian kontrak berpotensi itu berkemungkinan paling awal dalam suku ketiga tahun ini sementara menunggu proses semakan kos oleh kerajaan dan jadual pemeriksaan awam skim kereta api.

 

Di samping itu, firma itu berkata, kumpulan tersebut menyasarkan peningkatan prajualan hartanah pada suku kedua tahun kewangan 2023 (2HFY23) disebabkan tunggakan tempahan yang banyak dan mengekalkan sasaran prajualan hartanah FY23 sebanyak RM4.5bn, di mana prajualan 1HFY23 menyusut 45% tahun ke tahun (YoY) kepada RM1 bilion.

 

Susulan laporan kewangan suku kedua tahun kewangan 2023 (1QFY23) semalam, firma itu berkata keuntungan luar negara yang lebih kukuh menyokong prestasi pada separuh pertama tahun kewangan 2023 (1HFY23), mengimbangi kesan pengurangan keuntungan daripada projek MRT 2 yang telah siap dan pelupusan aset lebuh raya.

 

“Keuntungan bersih  1HFY23 melebihi jangkaan pada 55% daripada anggaran setahun penuh kami tetapi secara amnya selaras dengan konsensus Bloomberg sebanyak 45%,” katanya.

 

Menurut CGS-CIMB, prestasi keseluruhan adalah disebabkan oleh pengebilan yang lebih kukuh untuk segmen pembinaan dan pembangunan hartanah dengan buku pesanan tertunggak RM14.5 bilion, di mana pengebilan progresif yang lebih tinggi untuk projek Australia dan Taiwan) dan lonjakan dalam bil hartanah di Vietnam.

 

Oleh itu, firma tersebut mengekalkan saranan ‘tambah’ dengan harga sasaran (TP) RM4.69. -DagangNews.com