Prospek pertumbuhan MRCB berpotensi dipacu pelbagai projek infrastruktur baharu – RHB Investment | DagangNews Skip to main content

Prospek pertumbuhan MRCB berpotensi dipacu pelbagai projek infrastruktur baharu – RHB Investment

Gambar hiasan
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 29 Jan - Prospek Malaysian Resources Corp Bhd (MRCB) menyerlah disokong oleh pelbagai projek infrastruktur yang berkemungkinan diperolehnya pada masa akan datang.

 

MRCB dilaporkan telah membentuk konsortium dengan anak syarikat Berjaya Land Bhd, Berjaya Rail; unit IJM Construction, IJM Corp Bhd dan syarikat kereta api nasional Keretapi Tanah Melayu (KTMB) untuk mengemukakan cadangan konsep untuk projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura.

 

RHB Investment percaya hubungan sedemikian untuk sebuah konsortium adalah sesuai untuk cadangan konsep di bawah permintaan maklumat (RFI) pelaksanaan projek.

 

“MRCB mempunyai kelayakan rel (Mass Rapid Transit 2 [MRT 2] dan Transit Aliran Ringan 3 [LRT 3] selain peranannya dalam membangunkan semula KL Sentral (tertakluk kepada rundingan dengan kerajaan), yang nampaknya tepat pada masanya dengan potensi pelancaran HSR,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Firma penyelidikan itu menambah bahawa terdapat pelbagai jenis pilih atur masih boleh berlaku sebelum struktur akhir diputuskan, justeru struktur serupa seperti yang dilihat pada 2018 (di mana pakej HSR dibahagikan kepada bahagian utara dan selatan) tidak boleh diketepikan.

 

Selain pemangkin HSR, firma penyelidikan itu menyatakan bahawa status pra-kelayakan MRCB untuk projek tebatan banjir (dianggarkan RM500 juta hingga RM1 bilion) di Selangor boleh melihat perkembangan selanjutnya menjelang separuh pertama tahun ini, memandangkan keperluan mendesak untuk mengurus banjir dalam negara.

 

“Prospek lain mungkin datang daripada MRT3 – kami berpendapat bahawa MRCB mempunyai peluang untuk mendapatkan projek landasan tinggi, manakala pengembalian semula lima stesen LRT3 juga mungkin memberi manfaat kepada kumpulan itu, yang merupakan kontraktor utama bagi pembinaan 20 stesen terdahulu yang sedang berjalan,” tambahnya.

 

RHB Investment mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) dinaiikan kepada 74 sen sesaham daripada 52 sen sebelum ini.

 

Firma penyelidikan itu telah mengekalkan anggaran pendapatannya, mengaitkan sasaran nisbah harga kepada pendapatan (P/E) lebih tinggi sebanyak 18 kali daripada 11 kali untuk cabang pembinaan MRCB, mencerminkan tahap yang didagangkan oleh MRCB semasa kitaran naik pertengahan 2017.

 

“Dengan mengambil kira prospek yang dinyatakan di atas, kami juga menurunkan diskaun kami kepada nilai aset bersih sebenar (RNAV) yang disemak semula kepada 40% daripada 55%.

 

“Walaupun kami mengunjurkan penurunan pendapatan tahun ke tahun sebanyak 13% pada tahun kewangan 2023 (FY23), MRCB mempunyai anggaran kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) pendapatan tiga tahun sebanyak 15% disokong oleh nisbah liputan buku kepada hasil pesanan yang kukuh lebih 10 kali ganda dan bank tanah seluas 466.6 hektar (nilai pembangunan kasar RM33 bilion),” tambahnya.

 

Pada pukul 11:41 pagi ini, saham MRCB telah menokok 3.5 sen atau 5.4% kepada 68.5 sen dengan permodalan pasarannya berjumlah RM3.06 bilion.  - DagangNews.com