Prospek pertumbuhan Pharmaniaga kekal kukuh, HLIB kekal saranan 'beli'  | DagangNews Skip to main content

Prospek pertumbuhan Pharmaniaga kekal kukuh, HLIB kekal saranan 'beli' 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 22 Feb - Prospek Pharmaniaga Bhd. kekal menyakinkan terutama dengan pembinaan kemudahan pengeluaran vaksin yang akan menyokong pertumbuhan kumpulan dalam tempoh jangka pendek dan panjang, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research. 

 

Dalam nota kajian, penganalisisnya, Sophie Chua Siu Li berkata, jualan vaksin kepada sektor swasta dan pasaran eksport akan menyokong pertumbuhan jangka pendek Pharmaniaga setelah membekalkan 2.5 juta dos pada suku keempat 2021. 

 

Katanya, kumpulan menyasarkan untuk membekalkan lagi 10 juta dos vaksin COVID-19 Sinovac kepada sektor swasta dan pasaran eksport (terutama ke negara yang mempunyai kadar vaksinasi rendah) bagi tahun kewangan 2022 (FY22). 

 

"Pharmaniaga meletakkan sasaran untuk penghantaran vaksin pada separuh kedua ini, memandangkan rundingan untuk bekalan vaksin sedang dijalankan antara Pharmaniaga bersama negara-negara ASEAN dan Afrika yang lain.

 

"Pada masa sama, pembaharuan konsesi perjanjian pula dilihat akan menyokong pertumbuhan jangka panjang kumpulan termasuk penyertaannya dalam pembuatan vaksin halal dan insulin," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Pharmaniaga mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM85.48 juta pada suku keempat yang berakhir 31 Disember 2021, pembalikan daripada kerugian bersih sebanyak RM6.33 juta setahun sebelumnya, apabila hasilnya meningkat 12 peratus kepada RM711.72 juta.

 

Perniagaan bukan konsesi merupakan pemacu hasil utama berikutan penjualan vaksin COVID-19 Sinovac kepada sektor swasta.

 

Keuntungan suku keempat yang bertambah baik itu menjadikan pendapatan setahunnya kepada RM172.15 juta, meningkat daripada RM27.49 juta pada 2020.

 

Semalam, Pengarah Urusan Kumpulan Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, Pharmaniaga sedang mengintai peluang untuk membekalkan vaksin khusus Omicron yang sudah melalui proses 'fill and finish' melalui kerjasama dengan Sinovac Biotech Ltd dan pengeluar vaksin lain.

 

Menurut Siu Li, penyelidikan dan pembangunan (R&D) memainkan peranan penting kepada Pharmaniaga untuk terus mengembangkan rangkaian penawaran produknya. 

 

Katanya, kumpulan mempunyai perancangan untuk pengkomersialan produk yang akan dikeluarkan paten dalam tempoh 10 tahun akan datang.

 

"Kami menekankan bahawa pengkomersialan produk mengambil masa kira-kira 5 tahun untuk menjadi kenyataan (2-3 tahun dalam R&D dan 18-24 bulan untuk mendaftarkan produk tersebut).

 

"Oleh itu, strategi baharu Pharmaniaga ini akan membantu memastikan pengenalan produk luar paten tepat pada masanya kepada pasaran," jelasnya.

 

Secara keseluruhan, HLIB mengekalkan saranan 'beli' terhadap Pharmaniaga dengan harga sasaran pada RM1.13. 

 

Setakat 10.17 pagi ini, harga sahamnya kekal tidak berubah pada 84 sen dengan 1.002 juta saham diniagakan. - DagangNews.com