Prospek positif sektor pembuatan disokong pembukaan semula ekonomi | DagangNews Skip to main content

Prospek positif sektor pembuatan disokong pembukaan semula ekonomi

Oleh NABILA YASMIN RAZIB 
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 2 Dis -  Pertumbuhan dalam sektor pembuatan akan kekal disokong oleh pembukaan semula ekonomi, sektor elektrik & elektronik berprestasi tinggi, subkumpulan pengeluar sarung tangan, petroleum dan bahan kimia selain daripada permintaan luar yang teguh dan harga komoditi yang tinggi. 

 

AmBank Research berkata, walaubagaimana pun, pihaknya masih memerhatikan faktor-faktor yang menimbulkan ancaman besar kepada kemajuan pemulihan, yang jika menjadi kenyataan, boleh menarik ekonomi kembali kepada kemelesetan. 

 

"Varian Omicron yang baru ditemui telah menjadi risiko yang ketara, ditambah pula dengan tekanan ke atas pengeluaran disebabkan isu rantaian bekalan yang berterusan. 

 

"Untuk tahun penuh 2021, kami mengekalkan unjuran pertumbuhan sektor pembuatan sekitar 3.5% dengan peningkatan sebanyak 4.0% dalam senario kes terbaik," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.

 

Sektor pembuatan Malaysia terus mencatat peningkatan pada November 2021 didorong oleh pertumbuhan pengeluaran serta tempahan baharu.

 

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) IHS Markit, petunjuk komposit satu angka bagi prestasi pembuatan, meningkat kepada 52.3 daripada 52.2 pada Oktober ketika pengilang terus mencatat pemulihan operasi bagi bulan kedua berturut-turut.

 

Firma penganalisi itu berkata, prestasi itu merupakan tahap tertinggi sejak April 2021, menandakan peningkatan yang kukuh.

 

"Ia juga mencerminkan peningkatan keseluruhan sektor hasil daripada penarikan sekatan sambil disokong oleh permintaan daripada ekonomi global, terutamanya dari rantau Asia-Pasifik walaupun terdapat gangguan dalam rantaian bekalan yang berterusan mengekang prestasi pembuatan sebenar. 

 

"Walaubagaimana pun, pengilang telah menegaskan bahawa harga input melonjak lagi bukan disebabkan oleh kekurangan tetapi akibat daripada harga bahan mentah yang lebih tinggi dan kos pengangkutan," katanya.

 

Firma penganalisis itu menambah, tahap keyakinan pengilang rata-ratanya dilaporkan semakin meningkat untuk tahun akan datang, didorong oleh perkembangan wabak domestik dan global yang positif. -DagangNews.com