Prospek REIT diunjur normal, stabil pada 2024 selepas mengalami pemulihan selama dua tahun | DagangNews Skip to main content

Prospek REIT diunjur normal, stabil pada 2024 selepas mengalami pemulihan selama dua tahun

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 17 Okt - MIDF Research mengunjurkan prospek Real Estate Investment Trust (REIT) menjadi normal dan kekal stabil tahun hadapan selepas mengalami tahun pemulihan pada 2022 dan 2023.

 

Katanya, REIT Runcit dijangka kembali kepada pertumbuhan pendapatan sederhana pada masa hadapan, didorong oleh pertumbuhan organik pengembalian sewa yang positif.

 

"Dalam konteks ini, kami menjangkakan pengembalian sewa untuk pusat membeli-belah positif apabila jualan penyewa pulih. 

 

"Bagi REIT industri, prospek pendapatan juga dijangka kekal stabil, didorong oleh permintaan yang sihat untuk ruang industri.

 

"Bagi subsektor pejabat, prospek sepatutnya kekal lemah berikutan lebihan bekalan ruang pejabat," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Firma itu berkata, kebanyakan REIT runcit melaporkan pendapatan yang lebih tinggi pada separuh pertama tahun ini disebabkan pengembalian sewa yang positif dan jumlah pembeli yang lebih tinggi.

 

Katanya, mereka melihat bahawa bilangan pembeli dan jualan penyewa menjadi lebih kukuh bagi suku keempat disebabkan oleh aktiviti membeli-belah akhir tahun.

 

Di samping itu, firma itu melihat bahawa pergerakan pembeli disokong oleh ketibaan pelancong yang lebih tinggi.

 

Pada masa sama, firma penyelidikan itu berkata, industri hotel dijangka menunjukkan prestasi yang lebih baik pada suku keempat tahun ini berikutan musim cuti akhir tahun.

 

Katanya, kadar purata bilik dan kadar penghunian dijangka meningkat ke arah suku keempat apabila orang ramai melakukan perjalanan dan memandangkan Malaysia melihat ketibaan pelancong yang lebih tinggi. Selain itu, hasil daripada F&B juga akan menyokong pemulihan industri hotel.

 

"Secara ringkasnya, ketibaan pelancong khususnya dari China sepatutnya berada dalam aliran menaik dari suku keempat dan seterusnya dan seterusnya memacu pemulihan industri hotel.

 

"REIT dengan pendedahan kepada industri hotel iaitu Sunway REIT dan KLCCP Stapled Group akan terus melihat sumbangan pendapatan yang lebih baik daripada bahagian hotel," katanya.

 

MIDF Research mengekalkan saranan positif terhadap REIT dengan pilihan utama ialah IGB REIT (beli, TP: RM1.86) dan Sunway REIT (beli, TP: RM1.70). - DagangNews.com