Prospek sektor automotif lebih cerah jika pengecualian cukai dilanjutkan lagi | DagangNews Skip to main content

Prospek sektor automotif lebih cerah jika pengecualian cukai dilanjutkan lagi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 24 Mei - Lanjutan pengecualian cukai jualan kenderaan sekiranya diluluskan kerajaan dilihat dapat memberi rangsangan yang lebih positif kepada sektor automotif bagi tahun ini. 

 

Pengecualian cukai itu akan berakhir 30 Jun 2022 setelah beberapa kali dilanjutkan sejak diperkenalkan pada 2020 bagi membantu sektor automotif yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

 

Penganalisis MIDF Research, Hafriz Hezry berkata, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) telah mengemukakan rayuan kepada Kementerian Kewangan untuk melanjutkan lagi tempoh pengecualian itu berikutan masalah kekurangan bekalan yang masih berterusan menjejaskan keupayaan industri untuk memenuhi tempahan yang tertunggak. 

 

Katanya, sekiranya tempoh pengecualian itu dilanjutkan lagi, ia akan menjadi peningkatan positif untuk sektor automotif sekali gus meningkatkan lagi unjuran.

 

"Sebagai indikator, pengecualian cukai dengan tambahan 6 bulan dianggarkan meningkatkan ramalan jumlah keseluruhan industri (TIV) tahun ini kepada sekitar 595,000 hingga 605,000 dengan pertumbuhan 17 hingga 19% tahun ke tahun.

 

"Potensi semakan menaik pada unjuran kami adalah menyamai MAA, yang menunjukkan potensi peningkatan kepada sasaran TIV 2022 semasanya sebanyak 600,000 sekiranya pengecualian cukai ini dilanjutkan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Bagaimanapun, setakat ini, beliau mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) bagi 2022 sebanyak 575,000 unit, meningkat 13% tahun ke tahun.

 

"Unjuran ini dibuat dengan menjangkakan tiada sebarang langkah sekatan pergerakan dilaksanakan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 dan juga pesanan tertunggak yang kukuh, walaupun terdapat potensi kelemahan jangka pendek serta-merta selepas pengecualian cukai jualan berakhir pada 30 Jun ini.

 

"Namun, unjuran ini berada di julat paling bawah sebelum pandemik bagi mencerminkan situasi kekurangan cip yang berterusan dan potensi gangguan rantaian bekalan yang terputus-putus," jelasnya.

 

Baca : Masalah kekurangan cip, jualan kenderaan merosot pada April

 

Data yang dikeluarkan MAA minggu lalu, menunjukkan jumlah jualan kenderaan menurun 3.63% kepada 56,213 unit pada April 2022 berbanding 58,329 unit bagi tempoh sama tahun lalu.

 

Penurunan itu yang terdiri daripada kenderaan penumpang dan komersial disebabkan industri berdepan dengan faktor termasuk kekurangan cip semikonduktor yang digunakan dalam pembuatan automotif.

 

Menurut Hafriz, jualan pada Mei mungkin kekal tidak bergerak memandangkan cuti Hari Raya Aidilfitri dan penutupan kilang pada bulan tersebut.

 

"Tetapi, kami menjangkakan ia akan melantun semula pada Jun apabila bekalan beransur pulih dan kembali ke bulan bekerja seperti biasa," katanya.

 

Sementara itu, beliau mendapati, di sebalik semakan semula kenaikan harga dalam pasaran automotif, senarai menunggu masih kekal panjang dalam tempoh 3 hingga 6 bulan, yang mencerminkan pemulihan sektor ini dalam tempoh sederhana.

 

Secara keseluruhan, MIDF Research mengekalkan pandangan 'positif' terhadap sektor automotif bagi 2022. - DagangNews.com