Prospek Tune Protect positif, RHB Investment unjur CAGR untung bersih sebanyak 16% bagi FY23-25  | DagangNews Skip to main content

Prospek Tune Protect positif, RHB Investment unjur CAGR untung bersih sebanyak 16% bagi FY23-25 

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Dis - Tune Protect Group Berhad diunjur mencatat kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) keuntungan bersih sebanyak 16% antara tahun kewangan 2023 dan 2025 (FY23-25), kata RHB Investment.

 

Firma penyelidikan itu berkata ini dipacu oleh jualan insurans lebih besar, margin taja jamin lebih baik disebabkan gabungan produk yang lebih ideal dan kestabilan pendapatan pelaburan. 

 

Firma itu menganggap sasaran nisbah harga kepada nilai buku (P/BV) pada 0.6 kali ke atas nilai buku sesaham (BVPS) FY25 untuk mencapai nilai saksama (FV) 48 sen sesaham, membayangkan peningkatan sebanyak 20%. 

 

"Kami teruja dengan prospek pertumbuhan jangka pendek dan jangka panjang Tune Protect. Bagi jangka pendek, ia sepatutnya disokong oleh suku keempat yang kukuh secara bermusim, memandangkan musim pelancongan akhir tahun.

 

"Manakala prospek jangka panjang disokong oleh campuran produk yang bertambah baik dan model perkongsiannya yang sangat berjaya untuk pertumbuhan pantas dalam pasaran baharu dengan kos dan risiko persaingan terhad," ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Di samping itu, RHB Investment berpendapat bahawa pengagihan dividen juga mungkin dilakukan semula memandangkan kumpulan itu kembali mencatat keuntungan tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2023 yang dilihat pasti berlaku.

 

Mengulas lanjut prestasi Tune Protect bagi suku keempat, firma itu berkata musim perjalanan akhir tahun sepatutnya memberi petanda baik, terutamanya kerana ia memeterai kerjasama dengan syarikat penerbangan Vietnam, VietJet pada suku ketiga tahun ini. 

 

"Ini sepatutnya meningkatkan pendapatan dan pendapatan bersih kumpulan, yang kami ramalkan berkembang 27% dan 130% suku ke suku (QoQ). 

 

"Kejayaan menamatkan tahun kewangan dengan keuntungan bersih membolehkan kumpulan itu membayar dividen pertama sejak FY18. Mengikut anggaran kami, nisbah pembayaran 40%, seperti polisi dividen kumpulan, menjana hasil 3% hingga 4% pada FY23-25," tambahnya.

 

Bagi jangka panjang pula, RHB Investment berkata campuran produk bertambah baik dengan Tune Protect menyasarkan khalayak milenium dan Generasi Z (Gen Z) dalam ASEAN kerana ia merupakan ruang yang agak kurang ditembusi, di mana menurut kajian kadar penembusan insurans bukan hayat hanya pada 1% untuk demografi tersebut. 

 

"Selain itu, peralihan dalam campuran produk daripada insurans komersial dengan tuntutan tinggi dan pengekalan rendah, ke arah insuran pelancongan dan motor bermargin lebih tinggi boleh membawa kepada pertumbuhan margin yang mampan dalam jangka panjang," tambahnya.

 

Setakat pukul 11:58 pagi ini, saham Tune Protect telah menokok 0.5 sen atau 1.3% kepada 40 sen dengan permodalan pasaran berjumlah RM300.9 juta. - DagangNews.com