KUALA LUMPUR 21 Sept - Proton telah membuka pusat 3S/4S terbaharu yang ke-149, penambahan kepada jumlah cawangan tertinggi dalam industri yang terletak di Kota Bharu, Kelantan.
Pusat pengedaran Harima Auto Mobil 4S (Harima) baharu adalah pengedar Proton terbesar di dua negeri pantai timur iaitu Kelantan dan Terengganu.
Harima telah beroperasi sebagai pengedar Proton di Kota Bharu sejak 1986. Selaras dengan hala tuju perniagaan Proton, syarikat memutuskan untuk melabur dalam pusat 4S baharu.
Ia bertujuan untuk menaik taraf pengalaman pembelian, memberikan perkhidmatan pelanggan yang lebih baik dan menjadi pusat tumpuan bagi pemilik Proton di negeri itu.
Sebagai pengedar automotif berpengalaman dengan hubungan perniagaan tempatan yang kukuh, Harima menyedari keperluan untuk menyediakan perkhidmatan yang melangkaui jangkaan pelanggan memandangkan persaingan kuat daripada jenama lain di Kota Bharu.
Terletak di Tunjong, kawasan yang membangun dengan pesat di Kota Bharu, pengedar 4S itu mempunyai keluasan binaan 2400 meter persegi dengan 11 ruang servis, dan bilangan ruangan ketuk serta cat yang sama.
Bilik pameran pula boleh mempamerkan 10 buah kenderaan. Seperti pengedar 4S lain, terdapat kawasan permainan kanak-kanak, WiFi percuma dan ruang istirahat pelanggan yang selesa.
Harima juga bekerjasama dengan Proton Global Services (PGS) untuk menawarkan kemudahan lain. Terdapat ruang minuman yang menyajikan kopi Starbucks serta sudut produk berjenama Proton dan R3.
Sementara itu, Pengarah Harima, Liew Vee Lee berkata, mereka bertanggungjawab untuk memastikan pembeli menghantar semula kereta di pusat itu untuk servis berkala.
"Harima merasakan tahap kepuasan pelanggan yang diperlukan tidak dapat dicapai jika kami terus beroperasi sebagai bilik pameran kecil tanpa kemudahan yang diperlukan, justeru keputusan untuk beroperasi sebagai pengedar 4S,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah pula berkata, pembukaan pengedar 4S baharu Harima Auto Mobil akan membantu meningkatkan reputasi jenama Proton di Kota Bharu.
"Dengan memiliki rangkaian penuh kemudahan dan aset diperlukan untuk melayani jumlah pelanggan yang tinggi, kami berharap dapat meningkatkan tahap perkhidmatan pelanggan dan memberikan pengalaman yang benar-benar premium bagi pelanggan di negeri ini," katanya. - DagangNews.com