Proton catat jualan lebih 100,000 unit pada suku ketiga untuk 4 tahun berturut-turut | DagangNews Skip to main content

Proton catat jualan lebih 100,000 unit pada suku ketiga untuk 4 tahun berturut-turut

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 5 Okt - Proton mengakhiri suku ketiga tahun 2022 dengan jualan kukuh yang menyumbang kepada suku terbaik tahun ini dan membantunya melepasi satu benteng pencapaian yang penting. 

 

Setelah menjual 14,872 unit (domestik + eksport) pada bulan September, syarikat kini mempunyai jumlah jualan terkumpul (YTD) sebanyak 102,353 unit, penambahan sebanyak 40.2% berbanding sembilan bulan pertama pada tahun 2021. 

 

Ia merupakan tahun keempat berturut-turut sasaran 100,000 unit telah dicapai dan pada tahun ini, ia berlaku dua bulan lebih awal daripada tahun 2021.

 

Berbanding pesaingnya, Proton kekal di tempat kedua dalam jadual jualan dengan anggaran pegangan pasaran sebanyak 23.8% untuk bulan September. Hasilnya, angka pegangan pasaran YTD telah melebihi 20% buat kali pertama tahun ini dan kini berada pada 20.1%. 

 

Keseluruhan jumlah volum industri (TIV) bagi September dianggarkan menyusut kepada kira-kira 62,500 unit, jumlah keempat terbaik tahun ini yang mana pasaran automotif Malaysia dijangkakan akan mencatat tahun jualan terbaiknya.

 

Selepas memulakan tahun dengan pelbagai isu, ketersediaan alat ganti akibat kesan berlarutan daripada banjir pada bulan Disember 2021, COVID-19, dan kekurangan cip mikro global, volum pengeluaran Proton telah stabil membolehkan syarikat menyerahkan lebih banyak unit kepada pelanggan yang menunggu.

 

Ini paling ketara dengan Proton X50, SUV terlaris di Malaysia, yang telah bergelut untuk memenuhi permintaan sejak dilancarkan pada bulan Oktober 2020.

 

 

proton

 

 

Dengan 4,517 unit diserahkan pada bulan September, lebih 4,000 unit telah diserahkan selama empat bulan berturut-turut dan ini menyumbang kepada jumlah terkumpul YTD sebanyak 29,591, satu peningkatan sebanyak 78.2% berbanding tempoh sembilan bulan pertama tahun 2021.

 

Proton Saga juga mencatatkan nombor yang mengagumkan. Terjejas teruk akibat banjir tahun lepas yang menyebabkan penyerahan berkurang kepada hanya 76 unit pada bulan Januari, model popular itu menetapkan paras tertinggi baharu untuk tahun 2022 dengan 6,442 unit, mencapai jumlah yang tidak dicapai sejak bulan Oktober 2013. 

 

Jumlah YTD sebanyak 40,603 unit juga jauh di hadapan berbanding tahun 2021, menunjukkan peningkatan sebanyak 49.3% dan buktikan ia kekal sebagai pilihan relevan untuk semua pelanggan Proton. Model lain menunjukkan prestasi yang sama baik pada bulan September. 

 

 

proton

 

 

Proton X70 terus menerajui pasaran SUV segmen C dan dengan 1,730 unit diserahkan, YTD kini berjumlah 14,145 unit, bersamaan dengan peningkatan sebanyak 32.1%.

 

Proton Exora juga terus menunjukkan popularitinya walaupun terdapat pelancaran MPV pesaing yang lebih baharu. Dengan 418 unit diserahkan bulan lepas, volum YTD telah meningkat sebanyak 15.6% dengan 3,108 unit diserahkan pada tahun 2022.

 

Proton Persona mencatatkan 1,159 unit, manakala Proton Iriz mencatatkan 606 unit pada bulan September. Kedua-duanya merosot 2.3% dan 13.2% masing-masing dengan jumlah 10,787 dan 4,119 unit YTD tetapi dijangkakan pemulihan pada suku terakhir tahun kerana bekalan cip dan pengeluaran terus stabil.

 

 

proton

 

 

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah berkata, prestasi suku ketiga Proton adalah suku terbaik bagi tahun ini, dengan 42,229 unit untuk tiga bulan dari Julai ke Ogos. 

 

"Pencapaian ini adalah hasil gabungan kestabilan dalam pengeluaran serta daya tarikan berterusan model kami, terutamanya Proton Saga 2022 dan Proton X50. Oleh itu, walaupun permulaan tahun ini lemah, kami yakin dapat mencapai pertumbuhan jualan dua digit bagi tahun keempat berturut-turut.

 

“Selain memberi tumpuan pada pertumbuhan jualan, suku terakhir juga menyaksikan kami membina asas untuk pertumbuhan masa depan kami.

 

 

proton
Roslan Abdullah

 

 

"Perjanjian Pengedaran Am dengan smart menetapkan kami untuk menjual kenderaan elektrik (EV) daripada jenama itu bermula pada tahun 2023 manakala pembentukan PRO-NET membuktikan komitmen Proton untuk membangunkan dan menawarkan kenderaan tenaga baharu pada masa hadapan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, hasil langsung daripada permintaan yang kukuh untuk produk Proton ialah pertumbuhan pembiayaan oleh anak syarikatnya, Proton Commerce Sdn Bhd. 

 

Pada bulan September, syarikat itu mengeluarkan 2,872 pinjaman, melepasi pencapaian tertinggi sebelumnya pada bulan Mac. Ini meningkatkan jumlah pinjaman yang dijamin pada tahun 2022 kepada 15,504, melebihi 14,550 pinjaman yang dikeluarkan pada keseluruhan tahun 2021.

 

Roslan berkata, peningkatan OPR sebanyak 75bps pada tahun ini meyebabkan pelanggan giat mencari pakej terbaik yang tersedia untuk membiayai pembelian kereta baharu mereka. 

 

"Sebagai pembiaya pilihan untuk kenderaan Proton, Proton Commerce menawarkan pelbagai tawaran inovatif termasuk kadar terendah untuk pembeli Proton Saga serta keperluan pendapatan bulanan yang rendah. Tawaran sebegini telah terbukti berkesan, jadi kami menjangkakan lebih banyak pertumbuhan pada suku keempat tahun ini," katanya. - DagangNews.com