Proton catat rekod luar biasa di Brunei tahun lalu, sasar jual lebih 1,000 unit kenderaan pada 2024 | DagangNews Skip to main content

Proton catat rekod luar biasa di Brunei tahun lalu, sasar jual lebih 1,000 unit kenderaan pada 2024

Proton X50 menjadi pilihan majoriti pelanggan Proton di Brunei.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 19 Feb - Proton mencatatkan pertumbuhan luar biasa di Brunei pada tahun 2023 dengan mencatat rekod jualan baharu di negara tersebut yang merupakan salah satu pasaran eksport terawalnya.

 

Menurut Proton, sebanyak 789 buah kenderaan jenama itu berjaya dijual di Brunei pada tahun lalu, meningkat sebanyak 87% berbanding 422 unit pada 2022.

 

Katanya, prestasi luar biasa itu melonjakkan jenama Proton ke tangga kelima keseluruhan dan memperoleh pegangan pasaran sebanyak 5.4%, naik satu tempat dan meningkat 2.2% berbanding tahun sebelumnya.

 

"Jualan keseluruhan industri kenderaan (TIV) bagi Brunei adalah pada 14,640 unit untuk tahun 2023, peningkatan daripada 13,000 unit bagi tahun 2022," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Proton X50 mendahului jualan untuk semua model Proton di Brunei dengan keseluruhannya menduduki tempat ketiga untuk jualan SUV segmen B.

 

Pengarah Bahagian Jualan Antarabangsa Proton, Steven Xu berkata, sebanyak 476 unit Proton X50 telah dijual di Brunei pada tahun 2023, merangkumi kira-kira 60% daripada jumlah jualan Proton.

 

x90

 

ARTIKEL BERKAITAN: Proton berjaya jual 12,882 kenderaan pada Januari 2024, satu-satunya jenama catat peningkatan berbanding Disember 2023

 

Menurut beliau, populariti Proton X50 di Brunei boleh dikaitkan dengan komunikasi yang jelas mengenai nilai dan ciri-cirinya di samping jenama Proton sendiri.

 

"Proton bekerjasama rapat dengan pengimport kami, PAD Motors untuk mempromosikan harga kompetitif dan ciri-ciri unggul model itu berbanding pesaingnya di samping menawarkan pakej kewangan untuk memudahkan pembelian. 

 

s70
Proton S70 serba baharu dijangka dilancarkan di Brunei sebelum hujung bulan ini. 

 

"Ini disokong dengan aktiviti kami untuk mempromosikan jenama Proton, yang dibantu oleh kejayaan X50 di Malaysia yang membantu membina keyakinan pelanggan Brunei,” katanya.

 

Sementara itu, Proton dan PAD Motors yakin untuk mencapai jualan lebih daripada 1,000 unit untuk Brunei pada tahun 2024. 

 

Katanya, kunci untuk mencapai matlamat itu ialah pelancaran Proton S70 serba baharu, yang dijangka berlaku sebelum hujung bulan ini. 

 

"Negara itu merupakan pasaran antarabangsa pertama yang menerima model itu dan 15 unit telah dihantar ke sana bulan lepas menjelang pelancaran rasminya.

 

“Untuk 2024, PROTON yakin dapat mencapai lebih banyak pertumbuhan di Brunei. Dengan minat yang berterusan terhadap Proton X50 dan model lain serta pengenalan Proton S70, kami menyasarkan untuk menembusi halangan 1,000 unit pada akhir tahun ini,” tambah Steven Xu.- DagangNews.com