Proton jual lebih 100,000 unit tahun ini didorong permintaan tinggi model X50 | DagangNews Skip to main content

Proton jual lebih 100,000 unit tahun ini didorong permintaan tinggi model X50

Proton X50
Oleh SYAZA NORAZHARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Sept - Proton mencatatkan jualan domestik dan eksport sebanyak 12,690 unit pada Ogos 2024, menjadikan jumlah jualannya mencecah 101,489 unit setakat tahun ini (YTD). 

 

Ini merupakan tahun keenam berturut-turut Proton mencapai jualan lebih 100,000 unit. 

 

Proton berkata, pencapaian itu telah mengukuhkan kedudukan syarikat dalam keseluruhan jualan automotif nasional dengan bahagian pasarannya dianggarkan sebanyak 19%. 

 

Pengeluar kereta nasional itu berkata, model Proton X50 yang dikemas kini terus mendapat sambutan daripada pembeli dengan 2,440 unit dihantar pada bulan Ogos. 

 

Jualan YTD model itu berjumlah 15,229 unit, menjadikan Proton X50 sebagai SUV paling popular dalam rangkaian Proton.

 

"Pada bulan Ogos, kami mencatatkan angka jualan yang kukuh Proton X50 bagi bulan kedua berturut-turut dan jumlah jualan eksport yang meningkat dua kali ganda berbanding bulan Julai. 

 

"Ini didorong oleh jualan di Brunei yang mencatatkan rekod tertinggi iaitu 120 unit terjual kepada pelanggan di negara tersebut," ujar Proton dalam kenyataan hari ini. 

 

Selain itu, Proton berkata, jumlah volum industri (TIV) untuk pasaran automotif Malaysia dianggarkan telah meningkat sebanyak 1.3% bulan ke bulan kepada kira-kira 72,678 unit pada bulan Ogos. 

 

Secara keseluruhan, angka YTD untuk TIV dianggarkan sebanyak 534,766 unit, bersamaan dengan peningkatan sebanyak 6.2% berbanding tahun 2023. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Roslan Abdullah berkata, ekonomi domestik yang berdaya tahan dengan pertumbuhan KDNK diunjurkan pada 4% hingga 5%, Proton bersetuju dengan keputusan Persatuan Automotif Malaysia (MAA) untuk meningkatkan unjuran TIV setahun penuh kepada 765,000 unit. 

 

"Pasaran automotif Malaysia terus kukuh dan ini dicerminkan dalam jumlah jualan kami yang melebihi 100,000 unit untuk tahun keenam berturut-turut dengan tempoh berbaki empat bulan lagi dalam tahun 2024.

 

“Walaupun terdapat banyak persaingan tahun ini daripada jenama baru, kami mendapat sambutan pasaran positif terhadap model Proton X50 2024 dan Proton X70 2025 dengan angka tempahan yang kukuh dilihat di seluruh negara. 

 

"Ini adalah bukti keberkesanan penambahbaikan yang telah dibuat dan menunjukkan betapa pentingnya mempunyai rangkaian pusat 3S/4S yang terkemuka di pasaran untuk memenuhi keperluan pelanggan kami,” katanya.- DagangNews.com