Proton lantik Hap Seng Smart sebagai pengedar sah pertama kenderaan EV smart | DagangNews Skip to main content

Proton lantik Hap Seng Smart sebagai pengedar sah pertama kenderaan EV smart

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mei - Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET), melakar kejayaan baharu dalam pembangunan Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) setelah melantik Hap Seng Smart Sdn Bhd sebagai pengedar sah pertama kenderaan smart.

 

Pelantikan ini membuka peluang kepada PRO-NET selaku pengedar dan pengimport rasmi jenama smart di Malaysia dan Thailand memperkenalkan kenderaan elektrik (EV) serba baharu berinovasi, smart #1 di Malaysia pada penghujung 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, pihaknya percaya kecemerlangan automotif bukan hanya setakat mencipta kenderaan terbaik, malah turut menyediakan kemudahan komprehensif dan pengalaman unik kepada pelanggan. 

 

"Pelantikan ini menandakan kemasukan PRO-NET ke dalam pasaran automotif premium dan juga pasaran EV terbaharu di Malaysia," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Menurut Zhang, jalinan kerjasama dengan Hap Seng Smart menjadi permulaan kepada kemasukan PRO-NET ke dalam pasaran automotif premium di Malaysia. 

 

Katanya, smart akan terus bekerjasama dengan rakan kongsi perniagaan yang terbaik di dalam industri untuk memperkenalkan produk, perkhidmatan dan pengalaman jenama premium.

 

"Pasukan kami mencapai kemajuan menakjubkan sejak mula beroperasi pada 2022, dan kami amat yakin pasaran Malaysia akan teruja menyambut kehadiran smart yang mampu menawarkan pengalaman mobiliti bandar melalui EV premium," katanya.

 

proton

 

 

proton

 

 

Ketua Pegawai Operasi Kumpulan Hap Seng Consolidated Bhd dan Ketua Eksekutif Bahagian Automotif Hap Seng, Harald Behrend berkata, lembaran baharu bersama PRO-NET dianggap sejajar dengan matlamat mereka menjadi peneraju kepada industri dalam usaha menyokong aspirasi EV negara.

 

"Jalinan kerjasama Kumpulan Hap Seng dan PRO-NET mencerminkan bukan sahaja keyakinan kami terhadap daya tarikan universal jenama smart, malah turut memperlihatkan komitmen kami di dalam menyokong agenda mobiliti hijau bagi mencapai matlamat mobiliti rendah karbon di Malaysia," katanya.

 

Selain itu, ia juga merupakan sebahagian daripada strategi smart Malaysia untuk membawa kecemerlangan automotif EV ke pasaran Malaysia yang terdiri daripada dua komponen iaitu pelantikan pengedar premium baharu dan penubuhan Pusat Jenama smart serba baharu atau 'smart Space'.

 

 

proton

 

 

Hap Seng Smart akan memanfaatkan kepakaran teknikal syarikat induknya, Hap Seng Group yang telah bertapak sebagai peneraju pengedar automotif terkemuka di Malaysia dengan memiliki sejarah di dalam penjualan automotif lebih 50 tahun.

 

Dengan penyertaan sebagai sebahagian daripada keluarga smart EV, pelantikan itu akan meningkatkan kesedaran dan keterlihatan jenama smart di Wilayah Tengah. Bilik pameran pertama akan dibuka pada suku keempat di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur diikuti sebuah lagi bilik pameran di Balakong, Selangor.

 

Sementara itu, beberapa pengedar sah smart yang lain akan dilantik dan bakal diumumkan kelak. - DagangNews.com