Proton Motorsports R3 lancar rangkaian pelincir baharu | DagangNews Skip to main content

Proton Motorsports R3 lancar rangkaian pelincir baharu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Jan - Bahagian sukan permotoran Proton, R3 melancarkan rangkaian pelincir dan barangan baharu bagi membina semula hubungan peminat dan meningkatkan reputasi jenama. 

 

Di bawah naungan Proton Global Services (PGS), anak syarikat milik penuh Proton Edar itu menandakan hala tuju baharu bagi R3 membawa warisan dan produknya kepada orang ramai.

 

Rangkaian Minyak Tulen Premium R3 dibangunkan bersama Petronas dan boleh didapati dalam formulasi sintetik sepenuhnya dan separa sintetik. 

 

Kedua-dua minyak tulen P1 dan P2 dirumus menggunakan minyak asas Etro 6+ terbaru Petronas dan direka melawan haba berlebihan supaya memastikan prestasi lebih baik bagi penjanaan enjin cas turbo suntikan langsung yang semakin popular. 

 

Dengan penarafan SP dan SN Plus, mereka memenuhi tahap pensijilan tertinggi daripada Institut Petroleum Amerika (API).

 

 

proton
Lee Yeet Chuan

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif PGS, Lee Yeet Chuan berkata, pelancaran rangkaian Minyak Tulen Premium R3 baharu dan produk barangan adalah langkah pertama dalam perjalanan penjenamaan semula R3. 

 


"Ia akan dijual kepada orang ramai melalui rakan kongsi barangan premium kami di 20 buah lokasi seluruh Malaysia. 

 

 

r3

 

 

"Kami akan lancarkan lebih banyak produk, termasuk aksesori untuk pemilik kereta Proton pada masa hadapan dan berharap membantu kami membina semula hubungan dengan peminat R3,” katanya dalam kenyataan. 

 

Minyak Tulen Premium R3 berharga RM208 untuk formulasi sintetik sepenuhnya P1 dan RM158 untuk produk separuh sintetik P2. 

 

Bagaimanapun, ia akan ditawarkan pada harga pengenalan RM178 dan RM128 sehingga 30 April ini. 

 

Rangkaian baju kemeja-T dan topi baharu pula berharga antara RM49 hingga RM60 dan boleh didapati di semua lokasi rakan kongsi barangan premium.

 

 

r3

 

 

Untuk maklumat lanjut, sila layari halaman Facebook rasmi Proton Cars dan Proton Motorsports. - DagangNews.com