PRU15 dikhuatiri jadi lubuk jenayah siber - Palo Alto | DagangNews Skip to main content

PRU15 dikhuatiri jadi lubuk jenayah siber - Palo Alto

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 4 Nov - Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) yang tinggal kurang tiga minggu lagi, sudahpun menyaksikan kebanjiran penipu-penipu yang mencuri peluang untuk mengeksploitasi rakyat, kata Pengurus Negara Palo Alto Malaysia, Suk Hua Lim.

 

Menurutnya, Malaysia telah pun merekodkan lebih 20,000 kejadian jenayah siber tahun lepas, dengan kerugian berjumlah RM560 juta, menurut timbalan ketua setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.

 

"Dengan keuntungan kewangan yang lumayan dalam talian, musuh siber sentiasa berkeliaran untuk menggunakan serangan pancingan data bagi mendapatkan maklumat peribadi yang berharga.

 

"Kami amat menggalakkan semua pihak berkepentingan yang terlibat untuk mengutamakan pilihan raya yang selamat siber dan mengambil langkah yang perlu ke arah mendapatkan pemilikan ekosistem digital melalui pendidikan, kesedaran awam, dasar dan peraturan," katanya dalam kenyataan di sini.



 

Palo Alto Malaysia, Suk Hua Lim
Pengurus Negara Palo Alto Malaysia, Suk Hua Lim


 

Suk Hua berkata, pengundi juga mempunyai peranan penting dalam melindungi diri mereka daripada penipuan tersebut.

 

"Kebersihan digital dan amalan asas seperti kewaspadaan, kesedaran dan pemikiran sebelum mengklik pada pautan yang tidak diminta boleh membantu dalam mengurangkan serangan sedemikian,'' jelas beliau.

 

"Memandangkan PRU15 terus mendominasi perbualan harian kita, kita cenderung untuk mengabaikan risiko dan ancaman yang terus muncul.

 

"Parti politik, calon, kerajaan, malah pengundi perlu sedar bahawa penjenayah siber sedang mencari keuntungan daripada peluang ini, dan kita semua terdedah kepada serangan siber. Apabila bercakap tentang keselamatan siber, mencegah sentiasa lebih baik daripada mengubati," katanya.

 

Palo Alto Networks ialah peneraju keselamatan siber dunia, menyediakan keselamatan siber generasi seterusnya kepada beribu-ribu pelanggan di seluruh dunia, merentas semua sektor. - DagangNews.com