PRU15 diteruskan walaupun ada negeri enggan bubar DUN, kata PM | DagangNews Skip to main content

PRU15 diteruskan walaupun ada negeri enggan bubar DUN, kata PM

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersalaman dengan jemaah Masjid Al-Muhaimin, Bemban, Melaka untuk menunaikan solat Jumaat pada 14 Oktober 2022. - Gambar Pejabat Ketua Menteri Melaka

MELAKA 14 Okt -  Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diteruskan walaupun terdapat beberapa negeri yang enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

 

Beliau berkata, semua negeri berhak untuk membubarkan DUN masing-masing pada bila-bila masa.

 

"(Bagaimanapun), saya mencadangkan dan mengesyorkan jika boleh diadakan secara bersama (pembubaran Parlimen dan DUN) tetapi keputusan telah dibuat oleh enam negeri.

 

"Jadi pilihan raya (PRU15) akan diteruskan seperti biasa," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Loji Rawatan Air Kompak Chin Chin 3 di sini hari ini.

 

Semalam, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat memutuskan untuk mengekalkan pendirian tidak membubarkan DUN Kelantan, Terengganu dan Kedah.

 

"Tindakan itu (tidak membubarkan DUN) tiada memberi apa-apa kesan kepada kita.

 

"Cuma saya kata, pertama akan menyusahkan rakyat yang keluar mengundi (dua kali), kedua dari segi kos yang bakal ditanggung kerajaan adalah tinggi.

 

"Kos pilihan raya membabitkan enam negeri itu sudah pasti tinggi. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menanggung dua kos dan rakyat akan mengundi dua kali.

 

"Sebab itu saya dalam mesej pembubaran Parlimen, Isnin lalu, mengesyorkan kalau boleh diadakan secara bersama (pilihan raya DUN dan Parlimen)," kata Perdana Menteri. - DagangNews.com