KUALA LUMPUR 14 Nov - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan cuti khas pada 18 dan 19 November 2022 bagi memudahkan urusan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Hari mengundi bagi PRU15 sudah menjelang tiba, sukacita hari ini saya ingin mengumumkan, pertama, kerajaan menetapkan hari Jumaat dan Sabtu, 18 dan 19 November 2022 ini sebagai Hari Kelepasan Am bagi memudahkan urusan Keluarga Malaysia menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
"Bagi negeri Sabah dan Sarawak, kerajaan-kerajaan negeri boleh mengisytiharkan hari kelepasan am pada tarikh tersebut mengikut Ordinan Hari Kelepasan Am masing-masing," katanya ketika menyampaikan pengumuman tersebut pada Majlis Perasmian Pecah Tanah Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Pancarona Presint 18, Putrajaya hari ini.
Beliau berkata, sepanjang tempoh menerajui kerajaan, beliau sentiasa terbuka dengan pihak Cuepacs untuk mengemukakan apa jua penambahbaikan bagi Perkhidmatan Awam.
"Saya mengambil maklum mengenai beberapa permohonan daripada Cuepacs yang merangkumi pelbagai aspek kebajikan dan kesejahteraan anggota Perkhidmatan Awam seperti isu gaji minimum, time based dan sebagainya seperti yang disebut oleh Datuk Adnan Mat sebelum ini.
"Berhubung dana untuk membina bangunan baharu Cuepacs, saya berharap kita boleh berbincang selepas ini. Insya-Allah, berkat sokongan anggota penjawat awam yang sentiasa di belakang kerajaan, saya akan kembali untuk kita bersama-sama memperhalusi satu persatu penambahbaikan yang belum selesai.
"Saya menyeru ahli CUEPACS dan penjawat awam untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada Keluarga Malaysia dan saya yakin bahawa ‘Penjawat Awam adalah Tonggak Aspirasi Keluarga Malaysia," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, jentera Barisan Nasional (BN) perlu fokus menjalankan kempen PRU15 secara harmoni tanpa melakukan sebarang provokasi atau fitnah.
Beliau berkata jentera BN perlu memberi jaminan kepada rakyat yang gabungan itu akan membela nasib semua pihak sekiranya memenangi PRU15, Bernama melaporkan.
“Kita mesti jalankan kempen secara harmoni dengan tiada provokasi atau fitnah. Kita jual ‘produk’ kita jangan terlampau burukkan ‘produk’ orang lain.
“Produk kita perlu kita jual. Kalau rakyat terima kita, pasti mereka akan sokong kita,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan replika cek kepada Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) di Kompleks Bunga Raya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di sini hari ini. - DagangNews.com