Prudential, Pandai Education tawar akses kurikulum celik kewangan kepada 625,000 pelajar di Malaysia | DagangNews Skip to main content

Prudential, Pandai Education tawar akses kurikulum celik kewangan kepada 625,000 pelajar di Malaysia

Prudential menjalinkan kerjasama dengan Pandai Education untuk menawarkan akses kurikulum celik kewangan Cha-Ching melalui aplikasi Pandai kepada pelajar sekolah.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Prudential Assurance Malaysia Bhd (PAMB) menjalinkan usaha sama dengan Pandai Education Sdn Bhd untuk menawarkan akses kurikulum celik kewangan Cha-Ching melalui aplikasi Pandai dan portal web kepada kanak-kanak sekolah rendah Malaysia bagi memperkasakan pengetahuan mereka tentang celik kewangan.

 

Cha-Ching adalah program pendidikan kewangan untuk kanak-kanak yang direka dan dibangunkan oleh Yayasan Prudence, iaitu entiti pelaburan komuniti Prudential plc, dan diuruskan oleh PAMB di Malaysia. 

 

Ketua Pegawai Pemasaran dan Pengedaran Perkongsian PAMB, Eric Wong berkata, salah satu usaha teras di Prudential ialah untuk melengkapkan keluarga dan kanak-kanak Malaysia dengan ilmu pengetahuan, keyakinan dan kesedaran yang akan membantu mereka membuat pilihan kewangan yang bermaklumat dalam kehidupan. 

 

"Usaha sama dengan Pandai Education akan memberi akses kepada lebih ramai pelajar tentang kemahiran hidup yang amat penting seterusnya mempengaruhi keupayaan dan menjalani gaya hidup mampan pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Pengarah Eksekutif Yayasan Prudence, Marc Fancy pula berkata, pihaknya komited untuk membentuk masa depan yang lebih baik untuk komuniti. 

 

"Selama lebih satu dekad, melalui program Cha-Ching kami telah berkongsi kemahiran, ilmu pengetahuan dan nilai tentang pengurusan kewangan kepada kanak-kanak yang akan membantu mereka 
menghadapi masa depan yang lebih terjamin dari segi kewangan. 

 

"Kami percaya bahawa melalui usaha sama seperti ini, kami dapat memberi sumbangan dan memastikan masa depan yang lebih baik untuk generasi akan datang seterusnya menyokong Matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.

 

 

prudential

 

 

Ketua Pegawai Operasi Pandai, Suhaimi Ramly berkata, aplikasi mereka dibina dengan hasrat untuk menggalakkan pembelajaran dengan tumpuan kepada pembangunan akademik pelajar. 

 

"Usaha sama dengan PAMB ini merupakan usaha kami yang pertama dalam mengembangkan kandungan pembelajaran di luar bilik darjah dan memberi pelajar-pelajar di Malaysia akses kepada kemahiran hidup yang perlu dan amat berguna kepada mereka sehingga dewasa," katanya.

 

Pandai adalah aplikasi pembelajaran dalam talian yang membantu pelajar-pelajar sekolah yang berumur di antara 7 hingga 17 tahun belajar dan mencapai gred yang lebih baik melalui pembelajaran ala permainan dan menepati piawaian kurikulum pendidikan Malaysia. 

 

Usaha sama dengan Pandai Education ini akan membolehkan lebih 625,000 pelajar Malaysia yang berdaftar dengan platform Pandai mendapat akses percuma kepada 6 rancangan pembelajaran Cha-Ching, yang mengkhususkan tentang asas pengurusan wang. 

 

Setiap pembelajaran merangkumi video muzik dan aktiviti tentang dapat, simpan, beli dan derma serta kuiz untuk pelajar menguji pengetahuan yang telah mereka perolehi. 

 

Sejak tahun 2016, PAMB telah berjaya menjalankan kurikulum Cha-Ching kepada kira-kira 151,865 pelajar di 1,031 sekolah di 7 negeri.

 

Integrasi digital dalam Aplikasi Pandai ini membolehkan mereka terus berhubung dengan pelajar di seluruh Malaysia melalui pengalaman pembelajaran yang lebih menarik dan berinteraksi. - DagangNews.com