PT Pindad sasar tembusi pasaran global, industri pertahanan Malaysia pula bagaimana? | DagangNews Skip to main content

PT Pindad sasar tembusi pasaran global, industri pertahanan Malaysia pula bagaimana?

Kereta kebal Harimau buatan PT Pindad.
FOKUS BERITA oleh ZAKI SALLEH

BULAN lalu atau lebih tepat pada 29 April, firma pertahanan Indonesia, PT Pindad (Persero) meraikan ulang tahun penubuhan yang ke-40.

 

Tarikh tersebut dikira sejak ia secara rasmi bertukar menjadi syarikat milik kerajaan menerusi penyerahan daripada pihak Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Darat (TNI-AD).

 

Ia dimeterai antara Ketua Staf Angkatan Darat, Jeneral Rudini kepada Prof. Dr. B.J. Habibie pada 29 April 1983. 

 

Pindad adalah singkatan daripada Perindustrian TNI Angkatan Darat iaitu nama yang diperkenalkan pada 1962 menggantikan Pabrik Alat Peralatan Angkatan Darat (Pabal AD) pada 1958.

 

Firma PT Pindad bermula sebagai kilang pemasangan semua senjata buatan luar bagi tentera Indonesia sejak tahun 1950an. 


 

Pelbagai jenis senjata keluaran PT Pindad yang menjadi kebanggaan Indonesia.
Pelbagai jenis senjata keluaran PT Pindad yang menjadi kebanggaan Indonesia.
 

 

Sejak tempoh itu pelbagai jenis senjata, bahan letupan dan kenderaan perisai dihasilkan untuk tentera republik itu termasuk yang dibina menerusi kebenaran berlesen.

 

Pada tahun 1991, PT Pindad mengeluarkan raifal tempur SS1 yang dibina berasaskan senjata FN FAC buatan Belgium.

 

Evolusinya kemudian berkembang apabila 15 tahun kemudian ia menghasilkan raifal tempatan pertama iaitu SS2-V1. 

 

Perusahaan senjata ini boleh dibanggakan apabila raifal buatan Indonesia turut dieksport ke negara seperti Kemboja, Laos, Nigeria dan Emiriah Arab Bersatu.

 

Pada pentas antarabangsa, PT Pindad mempunyai reputasi tinggi apabila tim menembak TNI-AD kerap menjuarai pertandingan yang disertai.


 

Kenderaan Badak 6x6 dengan meriam 90mm untuk peranan sebagai pemusnah armor.
Kenderaan Badak 6x6 dengan meriam 90mm untuk peranan sebagai pemusnah armor.


 

Senjata dan peluru buatan PT Pindad mendukung penuh kontinjen penembak TNI-AD hingga menjadi juara sebanyak 13 kali dalam Pertandingan Menembak Tentera Darat ASEAN (AARM).

 

Lebih membanggakan, Indonesia juga menggungguli pada Pertandingan Menembak Tentera Darat Australia apabila menjadi juara sebanyak 12 kali.

 

PT Pindad melangkah ke hadapan apabila menghasilkan kereta kebal buatan tempatan pertama yang diberi nama Harimau.

 

Program kereta kebal Harimau dimulakan pada tahun 2015 secara berperingkat-peringkat sebelum binaan prototaip dua tahun kemudian.

 

Kereta kebal ini telah diuji sepenuhnya pada tahun 2018 dan mendapat pengesahan daripada TNI-AD dan Kementerian Pertahanan Republik Indonesia.

 

Berbeza dengan kenderaan jenis yang sama, kereta kebal Harimau benar-benar dirancang untuk kegunaan tempur dan bukan dibangunkan daripada platform sedia ada.

 

Sebuah lagi kenderaan tempur buatan PT Pindad ialah Badak 6x6 yang dilengkapi meriam 90mm. Badak dibina sebagai kenderaan pemusnah armor.


 

Kenderaan Anoa 6x6 turut bersaing untuk mendapatkan kontrak menggantikan kenderaan Radpanzer Condor Angkatan Tentera Malaysia.
Kenderaan Anoa 6x6 turut bersaing untuk mendapatkan kontrak menggantikan kenderaan Radpanzer Condor Angkatan Tentera Malaysia.

 

 

PT Pindad turut bersaing untuk mendapatkan kontrak menggantikan kenderaan Radpanzer Condor Angkatan Tentera Malaysia menerusi kenderaan Anoa 6x6.

 

Anoa 6x6 dibangunkan pada tahun 2008 berasaskan kenderaan perisai VAB buatan Perancis tetapi dengan ciri-ciri lebih baik.

 

Hasrat Indonesia untuk membawa industri pertahanan jauh ke pentas antarabangsa dibuktikan apabila negara itu membentuk satu entiti perniagaan dikenali sebagai Defence Industry Indonesia (DEFEND ID).

 

Bernaung di bawah DEFEND ID ialah PT Len Industri (Persero) sebagai induk dengan anak-anak syarikatnya termasuklah PT Pindad.

 

Sebagai sebuah syarikat, pihak pengurusan PT Pindad meletak sasaran agar dapat menghasilkan peralatan ketenteraan yang diperlukan dengan cekap serta menghasilkan produk komersial berorientasikan perniagaan.

 

Bagi mencapai maksud tersebut, penekanan diberikan dalam soal pembangunan, penyelidikan dan pelaburan serta membangunkan profesionalisme industrinya.

 

Pencapaian PT Pindad sepatutnya menimbulkan rasa cemburu untuk bersaing bagi industri pertahanan di sini serta mencetuskan minda strategik pada pemikir-pemikir negara.

 

Ini kerana sepertimana Indonesia, kita juga mempunyai industri pertahanan yang telah dimulakan lebih 60 tahun lalu dengan matlamat serupa.


 

Pencapaian PT Pindad sepatutnya menjadi pemangkin kepada industri pertahanan negara untuk mencapai kejayaan sama.
Pencapaian PT Pindad sepatutnya menjadi pemangkin kepada industri pertahanan negara untuk mencapai kejayaan sama.

 

Sepanjang tempoh itu, syarikat pengilang peluru negara ini diberikan status quo apabila semua bahan letupan sehingga peluru meriam yang hendak dibekalkan kepada pasukan keselamatan hanya boleh dibeli daripada syarikat tunggal tersebut.

 

Kemuncak pada pencapaian syarikat pengilang peluru tempatan ini apabila Kementerian Pertahanan pada 1989 memilih raifal Syer AUG buatan Austria untuk menggantikan M16.

 

Perolehan ini menyaksikan negara diberi kebenaran mengilangkan senjata itu secara berlesen pada tahun 1991. 

 

Steyr AUG disifatkan antara raifal terbaik dengan rekaan termaju selain dipasang dengan pejera teleskopik. 

 

Pada Mac 2004, syarikat usaha sama Malaysia-Austria iaitu Steyr Mannlicher (M) Sdn Bhd diwujudkan untuk menjadi pengeluar raifal termoden Steyr AUG3yang bukan sahaja bagi kegunaan ATM tetapi akan dipasarkan ke luar negara.

 

Kerjasama ini telah meletakkan Malaysia untuk menjadi antara pengeluar senjata utama di dunia. Malangnya, cita-cita ini tidak kesampaian apabila kerjasama tersebut terhenti separuh jalan. 

 

Tidak seperti PT Pindad yang melangkah ke pentas global, syarikat pengilang peluru tempatan yang lahir sezaman dengannya sebaliknya terus ketinggalan.

 

Ini kerana ATM tidak lagi mendapatkan peluru buatan syarikat tempatan, sebaliknya menerusi tender daripada syarikat luar negara kerana lebih berkualiti serta ekonomi.

 

Sebenarnya masih belum terlambat untuk kita membangunkan sebuah industri pertahanan negara yang mempunyai daya dan cita-cita seperti PT Pindad. - DagangNews.com