PT Resources sasar jana RM48.6 juta daripada penyenaraian di Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

PT Resources sasar jana RM48.6 juta daripada penyenaraian di Pasaran ACE

KUALA LUMPUR 30 Ogos – PT Resources Holdings Bhd. menyasarkan untuk mengumpul RM48.6 juta daripada tawaran awam permulaan (IPO) bagi penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Pengarah Urusannya, Heng Chang Hooi berkata, daripada hasil itu, sebanyak RM17.6 juta akan diperuntukkan untuk membiayai perbelanjaan modal bagi gudang penyimpanan sejuk beku yang baharu.

 

Katanya, sebanyak RM27.2 juta lagi akan diperuntukkan untuk perbelanjaan modal kerja, khususnya pembelian bahan mentah yang kebanyakannya terdiri daripada makanan laut dan produk daging segar dan sejuk beku, manakala bakinya akan digunakan untuk membiayai penyenaraian.

 

"Kami mahu memanfaatkan pasaran makanan laut beku yang semakin berkembang dengan mengembangkan kapasiti kami untuk menyimpan dan menghasilkan produk makanan laut sejuk beku berkualiti tinggi untuk memenuhi permintaan pelanggan yang semakin meningkat di pasaran tempatan dan antarabangsa.

 

"Oleh itu, kami memperuntukkan RM17.6 juta untuk menubuhkan gudang penyimpanan sejuk baharu di Kuantan, Pahang yang akan meningkatkan kapasiti simpanan daripada 700 tan kepada 4,000 tan.

 

"Kemudahan ini juga akan mempermudahkan rancangan kami untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk makanan laut beku dan produk lain," katanya dalam kenyataan sempena pelancaran prospektus kumpulan hari ini.

 

 

gambar hiasan
PT Resources melancarkan prospektus sempena tawaran awam permulaan bagi penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia, hari ini. 

 

 

Gudang seluas 28,392 kaki persegi yang dibina itu akan mempunyai enam bilik sejuk untuk menyimpan bekalan dan produk makanan laut beku, daging sejuk dan sejuk beku, buah-buahan dan sayur-sayuran pada had suhu yang berbeza, ruang menunggu dan lima ruang pemunggahan/muatan serta bangunan pejabat tiga tingkat. 

 

Menurut beliau, pengedaran produknya untuk pasaran luar negara akan meningkat pada masa hadapan kerana syarikat itu juga merancang untuk mengembangkan pasaran antarabangsanya ke lebih banyak negara di Asia Pasifik dan Timur Tengah, terutamanya Emiriah Arab Bersatu, Qatar dan Abu Dhabi.

 

“Berdasarkan prospek positif di Asia Pasifik dan Timur Tengah, kami mendapati banyak peluang untuk mengembangkan kehadiran kami dalam pasaran ini,” katanya.

 

Bagi tahun kewangan 2022, 44.4% daripada jumlah pengeluaran adalah untuk pasaran Malaysia, manakala Arab Saudi (12.2%), China (44.2%) dan lain-lain (0.8%).

 

Chang Hooi memberitahu, PT Resources merancang untuk membuka tiga cawangan tambahan MO Foodmart menjelang akhir 2023, dengan mengutamakan cawangannya di wilayah Pantai Timur Semenanjung Malaysia.

 

Berdasarkan harga terbitan 36 sen sesaham, PT Resources akan memperoleh permodalan pasaran sebanyak RM192.6 juta selepas penyenaraian tersebut.

 

Mercury Securities Sdn. Bhd. adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi langkah IPO berkenaan. -DagangNews.com