Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 16 Feb. - Anak syarikat milik penuh TM ONE, PT VADS Indonesia dilantik sebagai pengedar tunggal bagi penyelesaian Pengesahan Blockchain Terjamin (Blockchain Secure Authentication – BSA) bagi pasaran Indonesia.
Lantikan tersebut dibuat hasil perjanjian pernigaan yang ditandatangani PT VADS Indonesia bersama syarikat dari Korea, FNS Value Co. Limited (FNSV).
Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif TM ONE, Ahmad Taufek Omar berkata, ia merupakan kerjasama yang amat penting buat anak syarikat pihaknya iaitu PT VADS untuk terus memperkukuh kedudukan dalam penyediaan perkhidmatan keselamatan terurus yang dipertingkatkan kepada pelanggan-pelanggan di Indonesia.
"Kami percaya bahawa penyelesaian BSA ini merupakan jawapan kepada isu-isu keselamatan bagi transaksi digital. Ini amat penting kerana hampir semua transaksi dilakukan secara digital di dalam persekitaran perniagaan masa kini dan pengguna mahukan kaedah log masuk yang lebih selamat dan canggih.
"Dengan menggunakan BSA, pengguna tidak perlu lagi mengingati kata laluan untuk melakukan transaksi pada mana-mana peranti. Ini juga akan membantu menyelesaikan masalah kebimbangan keselamatan siber seperti penggodaman identiti.
"Ini pastinya akan membuka jalan yang lebih luas untuk gaya hidup dan perniagaan yang lebih digital," katanya dalam satu kenyataan.
Perjanjian tersebut ditandatangani Ahmad Taufek Omar bagi pihak TM ONE, manakala PT VADS diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif PT VADS, Saravanan Belusami; sementara FNSV diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jeon Seung Ju.
Majlis menandatangani dokumen tersebut dilakukan secara maya dan telah ditandatangani menggunakan Penyelesaian Tanda Tangan Digital TM ONE (TM ONE Digital Signature Solution – TMODS).
Melalui perjanjian tersebut juga, TM ONE, PT VADS, dan FNSV akan bekerjasama dalam menyediakan penyelesaian BSA untuk meningkatkan keselamatan, mengurangkan kos operasi dan meningkatkan pengalaman pelanggan, untuk pasaran Indonesia dan Malaysia.
BSA adalah penyelesaian pengesahan tanpa kata laluan yang dikuasakan oleh teknologi pengesahan blockchain yang mustahil untuk ditembusi.
Teknologi tersebut akan memberi manfaat kepada semua perniagaan dan industri yang memerlukan perkhidmatan pengesahan yang ketat dan dipercayai untuk web, log masuk mudah alih dan akses yang selamat untuk transaksi berasaskan dalam talian, terutamanya bagi Segalanya Internet (IoT) dan perkhidmatan-perkhidmatan pintar.
Tahun lalu, TM ONE dilantik sebagai pengedar tunggal produk dan penyelesaian BSA oleh FNSV untuk Malaysia dan sebagai rakan strategik untuk rantau ASEAN. - DagangNews.com