IPOH 3 Julai - Inisiatif untuk membimbing lebih ramai golongan B40 menceburi dalam bidang keusahawanan dilaksanakan menerusi penganjuran kursus bimbingan jangka pendek.
Ini yang dilakukan oleh Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh Perak (PUBI) selaku persatuan usahawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif di bandar raya Ipoh.
Terbaru, PUBI Perak menganjurkan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar 2023 yang berlangsung selama tujuh hari di sebuah hotel di Ipoh.
Ia untuk memberi kursus dan latihan kemahiran kepada golongan B40 dan miskin bandar yang berdaftar dalam senarai eKasih.
Program ini dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pembangunan dan Kerajaan Tempatan.
Program sama turut dijalankan 27 NGO keusahawanan lain di negeri-negeri masing-masing.
Pengerusi Kumpulan PUBI, Shahrul Rahman berkata, ini merupakan program keusahawanan kali ketiga yang dikelolakan oleh pihaknya.
Menurut beliau, kursus kali ini melibatkan 30 orang peserta yang mana mereka mempunyai minat untuk menceburi bidang keusahawanan.
"Pada sesi ini para peserta akan belajar tentang pembuatan kuih-kuih sejuk beku yang sememangnya mendapat permintaan di pasaran.
"Peserta mengikuti kelas teori selama empat hari manakala sesi seterusnya adalah di bengkel latihan untuk amali.
"Selesai kursus semua peserta akan diberikan kit permulaan untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan," ujarnya kepada Dagang News.
Bimbingan juga diteruskan apabila pihak PUBI akan memantau kemajuan peserta dalam tempoh tertentu untuk memastikan mereka dapat menjana pendapatan.
Ini demi memastikan kejayaan para peserta sekali gus dapat membaiki ekonomi keluarga masing-masing.
Mengulas lanjut kata Sharul, PUBI sentiasa bekerja rapat dengan agensi-agensi kerajaan berkaitan keusahawanan untuk meneroka sebarang peluang berkaitan.
Selain itu katanya, PUBI Perak selaku NGO yang prihatin juga turut memainkan peranan yang besar dalam komuniti dengan menjalankan aktiviti amal, sosial, kebajikan serta kemasyarakatan.
Ini bagi memberi manfaat yang berguna kepada usahawan dan bakal usahawan. - DagangNews.com